30 August 2021

FENDY BERHASRAT BERJODOH WANITA CELIK: "JADI 'MATA' UNTUK SAYA & ANAK..."



"Kalau ada rezeki dan peluang kahwin lagi, secara peribadi saya naklah kahwin lagi. Cuma, pada masa sekarang masih belum ada calonnya dan saya pun tahu keadaan kewangan tidak berapa stabil. Tapi, soal jodoh ini kita tak tahu. Kalau Allah kata ada rezekinya, saya terima saja asalkan wanita itu sayang dan boleh terima saya dengan anak saya juga.

"Bolehlah dia jadi 'mata' untuk saya dan anak kerana kami cacat penglihatan," kata pemain dram Caliph Buskers, Fendy Adlun yang tidak menolak sekiranya dia dipertemukan jodoh baru pula, selepas mendapat kunci rumah mampu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.

Fendy, 30, yang sudah empat tahun hidup menduda berkata dia tidak pernah serik atau menutup pintu hatinya untuk mendirikan rumahtangga semula. Katanya, soal jodoh tiada siapa yang tahu.

Ditanya apakah hasratnya mahu bertemu jodoh buat kali kedua nanti dengan wanita celik, Fendy berkata ia sekadar impian, tapi semuanya Allah yang tentukan. Jelasnya, tidak salah juga untuk lelaki sepertinya ada impian.

"Saya bukan cuba bersikap memilih-milih atau lupa keadaan diri, tapi jika dipertemukan jodoh baru naklah dapat pasangan wanita celik. Setidak-tidaknya adalah warna dalam kehidupan saya dan anak, Nur Azalea Zafirah.

Klik untuk gambar besar



"Isteri yang celik itu boleh tengok-tengokkan anak apabila saya keluar bekerja dan senang cakap jadi mata untuk kami berdua. Dia juga boleh ikut dan teman saya ketika ada persembahan," jelasnya.

Menurut Fendy, dia juga memasang impian sekiranya mendapat isteri celik mungkin agak mudah untuknya menceburi perniagaan sebagai salah satu usaha menjana pendapatan selain fokus pada kerjaya seni.

"Saya dapati seorang rakan anggota dalam Caliph Buskers, Nirwan yang mempunyai isteri celik. Sekarang, walaupun tiada tawaran persembahan nyanyian, tapi mereka mampu bersama-sama menjalankan perniagaan tempahan kek dan sebagainya.

"Ia sebagai tanda sokongan juga buat suami cacat penglihatan dan isteri celik yang ada kemahiran tertentu bekerjasama dalam bisnes. Secara tak langsung, memang membantu untuk usaha bersama mencari pendapatan," ujarnya.


Ditanya juga adakah dia pernah berkenalan rapat dengan wanita celik, Fendy berkata memang ada tapi pada ketika itu masa tidak sesuai untuk mereka membawa hubungan ke fasa yang seterusnya.

Katanya, ia berikutan wujud sentimen pada kalangan keluarga wanita berkenaan yang tidak yakin lelaki cacat penglihatan sepertinya mampu hidup berdikari. Ujar Fendy, mereka bimbang dia menjadi bebaban kepada wanita itu.

Mengulas juga harapan kembali kepada bekas isteri, Nur Nadira Rubiana yang juga anggota Caliph Buskers, Fendy berkata di antara mereka sudah ada kehidupan masing-masing dan cukup sekadar berhubungan baik demi anak.

Terdahulu, Fendy berkahwin dengan Nur Nadira pada 3 Mei 2014. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Azalea Zafirah, 6, yang juga cacat penglihatan dan kanak-kanak autisme. Pasangan ini bercerai pada 2018.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: