30 August 2021

BERTARUNG COVID-19 - FAZLI ZAINAL AKUI HANYA INGAT MATI, BIMBANG AZAB KUBUR



"Semasa dalam wad itu ramai orang tag saya di Instagram memberitahu berita arwah Siti Sarah meninggal dunia, masa tu terfikir mungkin giliran saya beberapa jam lagi. Saya sukar nak tidur... terpaksa meniarap dan sesak nafas dengar berita berkenaan, iyalah masa tu hanya kami berdua menjadi tumpuan. Bayangkan tahap oksigen saya menurun 55 peratus ketika saya pergi tandas dalam tempoh seminit.

"Saya fikir saya dah tak ada harapan. Saya cuma fikir satu sahaja... lepas tak seksa kubur saya nanti, sangat-sangat takut! Saya minta maaf pada semua orang ketika itu. Selama 29 hari di hospital saya tak mandi sebab tak boleh masuk tandas kerana oksigen drop teruk, dalam 20 minit saya boleh meninggal kalau tak cukup oksigen.

"Saya boleh kata sepanjang 44 tahun hidup, 29 hari itulah saya diberikan kesakitan yang amat sakit.... sejujurnya memang banyak amazing experience saya lalui di hospital. Saya nampak seorang pak cik di katil sebelah meninggal dunia, masa tu saya masuk toilet ambil wuduk sebelum solat subuh... saya sempat tegur dia. Tapi lepas habis solat dan mengaji saya tengok jururawat dah masuk dan pak cik itu sudah tiada.

"Nyawa kita ni bila-bila masa saja boleh pergi, jadi sekarang ini saya terpanggil untuk sebarkan segala kebaikan," demikian kongsi penyanyi Fazli Zainal mengenai pengalaman selama 29 hari bertarung nyawa di hospital akibat Covid-19 dan ianya cukup membuatkan dirinya insaf dan mengingatkannya tentang hari kematian.

Klik untuk gambar besar



Menurut Fazli, 44, tahap kesihatan dan paras oksigennya semakin merosot selepas mengetahui penyanyi Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia akibat jangkitan yang sama pada 9 Ogos lalu.

Pada 31 Julai lalu, penyanyi lagu 'Harapan' itu dimasukkan ke Hospital Ampang selepas tahap oksigen dalam badannya menurun setelah seminggu dijangkiti Covid-19. Ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mendapati kira-kira 75 peratus paru-parunya dalam keadaan kurang memuaskan.

Fazli kemudian dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) bagi meningkatkan tahap oksigen dalam tubuh badannya. Bercerita pengalamannya semasa di wad, Fazli berkata dia menyaksikan sendiri pesakit meninggal dunia. Fazli juga mendedahkan dia tidak mandi selama 29 hari kerana paras oksigen turun mendadak setiap kali dia bergerak ke bilik air.


Meskipun belum sembuh sepenuhnya, Fazli yang ditemui semasa sidang media pelancaran single baharu nyanyiannya berjudul 'Mantan Yang Terluka' yang diadakan secara maya pada Isnin, memberitahu dia tetap meneruskan hasrat melancarkan single baharu tersebut.

"Kita memang dah rancang nak lancar tahun ni cuma kebetulan sebulan lepas saya masuk hospital, jadi ini la waktu sesuai untuk keluarkan lagu. Kerjaya seni saya tak boleh berhenti... cuma saya masih teringat semasa di ICU dulu saya fikir ini lagu terakhir saya, Wallahualam," katanya.

'Mantan Yang Terluka' ciptaan Ajai dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya boleh didengari di semua platform digital bermula 10 September depan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: