14 August 2021

GAGAL HUBUNGI SEJAK JUMAAT - ACHEY BIMBANG IBU TERTEKAN



"Setakat ini, keadaan mak yang saya tahu, dia ok dan kuat. Keadaan dia semakin baik termasuk kadar oksigen dia. Alhamdulillah dia masih dalam keadaan sedar. Tidak dimasukkan ke ICU atau ditidurkan... cuma kadang-kadang demam.

"Dia pun tak boleh nak ke mana-mana dan mungkin tertekan la kot. Saya tengah cari jalan untuk hubungi mak saya. Saya pun tak ada dapat nombor telefon jururawat di situ. Apa yang saya boleh buat, hanya hubungi talian yang berhubungi ke kaunter wad sahaja," ujar pelawak Achey.

Keadaan kesihatan ibu Achey iaitu Ngaisah Hassan, 72, menunjukkan perkembangan positif selepas berdepan situasi mencemaskan pada Jumaat. Menurut Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 35, paras oksigen dalam badan juga semakin stabil dan kini berada di wad biasa.

Ibu ahli kumpulan Bocey ini dimasukkan ke Hospital Segamat, Johor pada 3 Ogos lalu selepas disahkan positif Covid-19. Pada Jumaat, Achey menerusi laman Instagram berharap orang ramai mendoakan keadaan ibunya yang berada dalam keadaan tidak baik. Dalam pada itu, Achey masih berasa bimbang berikutan tidak dapat menghubungi dan bercakap dengan ibunya sejak pagi Jumaat.

"Sejak pagi semalam selepas doktor hubungi saya sehingga ke hari ini, saya tak dapat nak hubungi mak saya. Dia dah dipindahkan ke wad lain. Macam sebelum ini, ada kawan-kawan dia yang tolong angkatkan panggilan telefon dan tolong borak dengan dia.

Klik untuk gambar besar



"Kalau saya tak dapat hubungi mak, saya akan hubungi kawan dia. Saya agak risau juga sebab mak saya ini cepat tertekan kalau tak dapat borak dengan anak-anak dan tak nampak orang yang ambil berat fasal dia," kata Achey.

Sebelum ini, Achey berkongsi khabar duka apabila tiga ahli keluarga iaitu ibu, abang dan kakak disahkan positif Covid-19 dan menerima rawatan di Hospital Segamat.

Achey turut memberitahu adik ipar iaitu Laila dan anaknya, Anaqi pula di bawa Pusat Kuarantin Dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Kulai pada pagi Sabtu.

Selain itu, abang Achey sudah dipindahkan ke PKRC di Tangkak, Johor selepas dimasukkan ke Hospital Segamat manakal adiknya yang juga pelawak Natasha Hamzah kini dirawat di PKRC Johor Bahru.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: