25 August 2021

"HARAP EMAK TERUS KUAT..." - ACHEY MAKLUM IBU MASIH GUNA OKSIGEN TAHAP PALING TINGGI



"Doktor beritahu, sekarang emak menggunakan tahap oksigen paling tinggi untuk bernafas. Namun, doktor cuba juga nak turunkan tahap oksigen itu tapi mak mungkin tak mampu nak bertahan. Hari ini juga doktor lakukan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) untuk paru-paru emak sebab ada jangkitan kuman yang berasal dari Covid-19 atau dari penyakit pankreas dihidapi mak sebelum ini.

"Namun, doktor memaklumkan keadaan emak stabil tapi harapnya mental dan fizikal emak terus kuat sebab sudah lebih 20 hari dia dirawat di hospital," kata pelawak Achey, 35, yang memaklumkan ibunya, Ngaisah Hassan, 73, yang kini dirawat di Hospital Segamat, Johor akibat Covid-19 masih menggunakan tahap oksigen paling tinggi untuk bernafas.

Achey ketika dihubungi berkata, keadaan terkini ibunya yang dikongsikan doktor berikutan tahap oksigen yang rendah tidak boleh membantu ibunya untuk bertahan. Achey turut memohon didoakan kesihatan dan kesembuhan segera buat ibunya daripada Covid-19. Katanya, apabila ibunya sudah pulih nanti dan boleh dibawa balik ke rumah dia mahu merawat sendiri.

"Harap-harapnya, sekiranya emak dah bebas Covid-19, dia (mak) dah okey untuk dirawat seterusnya di rumah. Saya nak bawa emak balik. Saya pun dah usahakan beli mesin oksigen sendiri untuk kegunaan emak. Ini juga sebagai langkah berjaga-jaga untuk di rumah nanti. Sekarang, hanya emak seorang saja masih lagi dirawat di hospital, manakala adik-beradik yang lain semuanya sudah dibenarkan pulang ke rumah," jelasnya.

Terdahulu, pada 3 Ogos lalu Achey berkongsi berita sedih apabila ibu, kakak dan abangnya disahkan positif Covid-19 menerusi keputusan ujian saringan dibuat sebelum beberapa lagi anggota keluarganya yang lain turut dijangkiti virus itu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: