26 August 2021

"KALAU TAK ADA JAWAPAN... BAGI AIR MATA SAJA" - SHUIB AKUI ANAK-ANAK MASIH CARI ARWAH IBU



"Macam Matin... dia baru berusia enam tahun, kadang-kadang apabila teringat dia akan tanya. Anak perempuan pula apabila sedih dia akan tunjuk. Sebelum tidur, dia akan tanya ibu dekat syurga, kenapa ibu lama kat sana padahal dah janji nak berjalan sama-sama, tidur sama-sama, nak kongsi barang sama.

"Dia akan tanya kenapa ibu pergi dan tinggalkan dia. Nak tak nak kena jawab, kalau tak ada jawapan... bagi air mata saja. Uwais dah faham... dia la menjadi penenang untuk adik-adik. Bersyukur Allah maha besar, dia ambil kesayangan bidadari saya ganti dengan anak sulung yang miripnya," jelas pelawak Shuib Sepahtu berkongsi perkara itu ketika sesi Instagram Live (IG Live) bersama rakannya, Abu Talib Husin dan pendakwah Mohammad Yaakub Yusra pada Khamis.

Genap 17 hari pemergian isteri tercinta penyanyi Allahyarham Siti Sarah, Shuib berkata, dua anaknya iaitu Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, sering bertanya tentang arwah setiap kali sebelum tidur. Sementara itu, Shuib turut berkongsi perkembangan terbaru anak pramatangnya iaitu Ayash Affan yang kini sudah dipindahkan keluar dari inkubator.

Klik untuk gambar besar



Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, berkata, bayi yang kini berusia 20 hari itu mula diberikan susu badan dan akan dibuka alat bantuan pernafasan dalam masa terdekat.

"Alhamdulillah, tiga hari lalu Ayash dah keluar dari inkubator dan dia dah mula minum susu ibu yang saya dapat daripada sepupu sendiri. Insya-Allah dalam dua minggu lagi, doktor akan buka alat bantuan pernafasan. Insya-Allah minggu ketiga nanti Ayash akan pulang ke rumah," ujarnya.

Dalam pada itu, Shuib turut bercerita dia memasang niat untuk menjadikan kesemua anak-anaknya sebagai tahfiz al-Quran sebelum mereka memilih kerjaya masing-masing. Malah dia berazam untuk menghantar anak bongsunya iaitu Ayash untuk menjadi seorang tahfiz pada usia tiga tahun.



"Saya nak semua anak-anak saya bergelar tahfiz sebelum mereka bekerja nanti. Saya mahu mereka hidup berpandukan al-Quran. Anak yang kecil saya nak dia diajar pada usia tiga tahun. Saya ni datang daripada keluarga yang daif tiada ahli keluarga yang tahfiz jadi saya mahu anak saya tahu tentang agama," tuturnya.

Untuk makluman, Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada usia 37 tahun di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur akibat Covid-19 pada 9 Ogos lalu. Dua hari sebelum itu, Allahyarham menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungannya berusia lapan bulan.

Untuk rekod, Shuib dan arwah Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011. Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini masih berada dalam pemantauan di PPUKM.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: