25 August 2021

KAWAN SONGLAP RM70,000 - ANDI BERNADEE TAK SANGKA, BUAT LAPORAN POLIS



Penyanyi Andi Bernadee telah mengalami kerugian sebanyak RM70,000, selepas mendakwa orang dia percaya iaitu rakan baik yang juga pembantu peribadinya melakukan pecah amanah dan 'songlap' wang miliknya. Dek kerana itu, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 30, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada pagi, Rabu.

Penyanyi lagu 'Kais Pagi Kais Petang' itu hadir di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur bersama pengurus, Nasir Deraman dan peguamnya iaitu Faizal Rahman. Dakwa Andi, individu tersebut menggunakan aplikasi WhatsApp miliknya untuk berkomunikasi berkaitan urusan kerja yang melibatkan transaksi bayaran.

Andi berkata, wang itu adalah hasil pendapatan daripada dua projek membabitkan pelanggan besar untuk tahun ini. Andi berkata, kejadian itu menyebabkan pendapatannya terjejas teruk. Lebih menyedihkan, individu yang paling dipercayainya itu turut memburukkan namanya dalam kalangan penggiat industri hiburan. Laporan itu juga dibuat untuk memberi amaran kepada rakan dalam bidang lain supaya tidak menjadi mangsa individu itu.

"Kes yang saya laporkan ini melibatkan pecah amanah... orang yang saya percaya dan bawa masuk dalam industri. Saya sendiri tak sangka dengan apa individu itu sudah lakukan. Dia sudah kacau periuk nasi saya, malukan saya, fitnah dan burukkan saya dekat produksi serta kawan-kawan saya. Sedangkan dia telah songlap duit saya.

Klik untuk gambar besar



"Saya langsung tak dapat duit hasil kerja saya tahun ini hampir RM70,000. Duit itu merupakan bayaran saya berlakon dan bekerja untuk syarikat baju. Dia manipulasikan WhatsApp saya dan hantar kepada client... client percaya, buat transaksi bayaran itu kepada akaun peribadi dia," katanya.

Dalam pada itu, Andi berkata, dia mula mengesyaki ditipu individu tersebut selepas menyedari tidak menerima wang hasil kerjanya sejak awal tahun. Malah Andi memberitahu dia sudah bersemuka dengan kawannya itu bagi menyelesaikan perkara berkenaan, namun tidak menerima respon yang baik.

"Saya mula syak sebab duit saya bekerja dari awal tahun tak masuk ke dalam akaun saya. Dia asyik beri alasan resit hilang dan client tak bayar lagi. Sedangkan client dah bayar... rupa-rupanya dia dah makan (ambil duit). Saya mula bertanya dekat dia sejak Jun lalu. Tapi macam-macam alasan diberikan. Ahad lalu, saya ada bersemuka dengan dia dan tanya baik-baik sebab saya ada bukti yang mengatakan bayaran sudah dilakukan ke akaun peribadi dia," ujarnya.



Andi juga sudah bersemuka dengan individu itu beberapa minggu lalu bagi mendapatkan penjelasan. Andi berkata, perkara itu bukan saja menjejaskan periuk nasinya tetapi turut memberi kesan kepada emosinya: "Saya sudah bersemuka dengan dia, tapi apa dia buat? Dia main telefon depan saya. Dia buat endah tak endah. Saya bukan nak apa-apakan dia, cuma mahukan penjelasan.

"Dia buat tak tahu saja. Bukti semua ada. Saya dah cakap selesaikan secara baik sesama kita, tetapi dia bercerita kepada pelanggan memburukkan saya. Saya jadi serabut, tak ada 'post' (hantaran) dalam media sosial. Dalam keadaan pandemik sekarang, sudah tentu saya mengharap wang titik peluh saya selama ini," tuturnya.

Sementara itu, Andi mengakui dia lama menghilang daripada media sosial disebabkan berada dalam keadaan serabut memikirkan masalah tersebut: "Saya serabut, dalam keadaan kita sedang berdepan dengan pandemik, saya hanya harapkan duit hasil titik peluh dan kerja keras saya. "Saya ada tanggungan keluarga. Apa yang berlaku ini memberi kesan kepada keluarga saya. Apabila mak saya bertanya... saya terpaksa tipu kata duit saya hilang," jelasnya.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: