25 August 2021

TAUKE KATA NETIZEN SEKARANG SEMAKIN HARI SEMAKIN LIAR



Pelawak Tauke Jambu sebelum ini memaklumkan yang dia tekad untuk berhenti dan keluar dari industri hiburan tanah air selepas terpalit dengan kontroversi berkaitan kes kegiatan pemerdagangan manusia untuk tujuan seks. Akui Tauke, insiden terbabit telah memberi tamparan hebat buatnya.

Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria berkata, ini kerana dirinya tidak mahu lagi menjadi mangsa tohmahan netizen yang semakin hari, semakin 'liar' di media sosial dan kebanyakan netizen hari ini gemar menghakimi secara keterlaluan.

"Saya berpegang dengan kata-kata, semakin ramai peminat, semakin ramai juga orang yang membenci. Bagi saya, dua golongan ini sentiasa akan ada. Saya tak mahu lagi menjadi mangsa tohmahan.

"Di media sosial sekarang, mereka (netizen) terlalu melampau dan sudah tak ada etika. Komen dan luahan pendapat juga umpama tak beradab dan seolah-olah menghakimi orang lain," ujarnya.

Klik untuk gambar besar



Selain itu, Tauke juga ingin menggunakan waktu yang ada selepas berhenti bergelar anak seni untuk keluarga dan perniagaannya. Pada masa sama, dia juga akan menggunakan masa yang ada untuk mendalami ilmu keagamaan.

"Sekarang, tumpuan saya adalah keluarga dan produk-produk hasil perniagaan kecil saya. Selain itu, saya juga sedang berjinak-jinak dengan saluran YouTube di samping menggunakan platform media sosial untuk menjana pendapatan," katanya.

"Mendalami ilmu agama juga adalah satu daripada matlamat saya. Apa yang boleh saya katakan, guru terbaik adalah diri kita sendiri. Semuanya berbalik kepada diri dan pemikiran kita," katanya.

Semalam, Tauke turut meluahkan rasa syukur apabila pihak polis mengesahkan dia bukanlah individu yang dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral itu. Sebelum itu, media melaporkan polis mengesahkan seorang pelawak yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes itu tidak akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, semalam.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: