Bagi meneruskan kerjaya muzik, penyanyi Yuna, 35, meluahkan hasrat untuk kembali semula ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) selepas lebih setahun berada di tanah air, sejak Mac tahun lalu. Yuna berkata, dia tidak menyangka sudah lebih setahun 'terkandas' di Malaysia akibat penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Menurut Yuna, sepanjang tempoh pandemik Covid-19, banyak urusan muziknya tertangguh termasuklah pembikinan album baharu yang dijangka akan dilancarkan hujung tahun ini. Biarpun tidak memperincikan jangkaan waktu dia akan berlepas ke AS, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara'ai berkata, dia mahu pulang ke sana demi meneruskan kerja-kerja pembikinan album terbarunya.
"Saya akan kembali ke Los Angelas dan meneruskan kerja-kerja pembikinan album terbaru saya. Insya-Allah, album berkenaan akan saya lancarkan pada hujung tahun ini. Saya juga akan memastikan dapat berulang-alik ke Malaysia demi memastikan kesejahteraan keluarga saya sentiasa terpelihara.
"Kali terakhir mengeluarkan album untuk pasaran antarabangsa pada 2019. InsyaAllah, album kelima akan dilancarkan pada penghujung tahun ini. Kepulangan saya ke AS bagi melunaskan kerja pembikinan album yang belum selesai," jelas isteri kepada Adam Sinclair ini.
Yuna dan suaminya pulang ke tanah air kerana perlu menyelesaikan beberapa urusan kerja, namun terkandas kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagi memastikan pelancaran album kelima itu berjalan mengikut perancangan, Yuna memberitahu dia membina studio di rumahnya.
Klik untuk gambar besar
"Saya membangunkan studio dalam rumah selepas lebih setahun berada di Malaysia. Alhamdulillah, sekarang ini dengan pelbagai kemudahan teknologi yang ada semuanya boleh dilakukan atas talian sahaja," ujarnya.
Melihat keadaan pandemik yang tidak menentu di negara ini hingga menjejaskan beberapa ekonomi jenama tempatan, Yuna tetap menzahirkan sokongannya tidak kira ia jenama yang kecil atau besar.
"Ramai yang tahu saya memang gemarkan jenama-jenama tempatan sama ada kecil atau besar sejak dari dulu lagi. Saya biasanya akan kongsikan dengan keluarga dan peminat, tapi kini saya rasa cara itu masih belum lagi boleh dianggap menyeluruh.
"Ditambah sekarang, banyak usahawan tempatan mengalami kekangan kewangan dalam memastikan perniagaan mereka terus berkembang. Apapun, saya amat menyokong perniagaan anak tempatan dan sudah lama berhasrat mahu memainkan peranan yang lebih besar dalam aspek itu," tuturnya.
Sebelum pulang ke AS, penyanyi lagu 'Crush' berkolaborasi dengan Usher itu mahu menyumbang usaha kecil bagi membantu peniaga tempatan bagi menjana pendapatan ketika berdepan cabaran era pandemik Covid-19.
Menyedari ramai peniaga terjejas dan hilang punca pendapatan ketika Covid-19, Yuna bekerjasama dengan syarikat dagangan digital dan teknologi kewangan, myIOU untuk memberi sokongan kepada jenama tempatan kecil atau besar.
"Jadi, kerjasama menerusi perkhidmatan direka bagi memenuhi keperluan pasaran tanpa tunai ini menarik perhatian saya. Saya mahu lihat anak tempatan mengambil peluang keemasan ini dengan menggunakan kemudahan perniagaan dalam talian.
"Ia sedikit sebanyak dapat membantu lebih ramai peniaga dalam talian untuk mengembangkan perniagaan, sekali gus menjana pendapatan dalam era pandemik ini," katanya yang dilantik sebagai wajah rasmi myIOU yang menawarkan perkhidmatan Beli Sekarang Bayar Kemudian.
________________________
No comments:
Post a Comment