"Satu berita yang sangat menggembirakan bila ramai rakan selebriti sudah bertudung. Tahniah dan bersyukur. Saya tengok perubahan isteri pun rasa syukur sangat. Saya doakan mereka terus istiqamah. Sebab ujian kita zaman sekarang ini lain sikit. Takut Allah beri hidayah, Allah boleh tarik balik. Bagi saya, perubahan ini sedikit sebanyak kesan daripada pemergian arwah Siti Sarah.
"Mungkin pemergiannya menjadi asbab untuk perubahan ini. Ini yang kita tahu (artis-artis yang mula bertudung). Belum lagi orang-orang lain yang kita tak tahu. Semoga apa yang berlaku mengalirkan pahala buat Allahyarham. Kita tak tahu bila akan sampai waktu kita. Macam saya dan isteri pun sudah padam gambar-gambar lama. Isteri saya pun dah padam gambar dia tak bertudung sebelum ini.
"Kelmarin, kami sibuk memadam gambar-gambar lama. Saya cakap, buanglah. Tak kisah kalau dia nak arkibkan atau apa, tapi padam dari "tempat yang boleh dilihat. Ini kerana kita tak tahu, bila Allah nak ambil (nyawa). Bila Allah ambil sahabat-sahabat kita, saya rasa baik kita teruskan berada di jalan Allah setiap masa. Kita tak tahu, entah esok atau lusa, saya pula yang pergi.
"Ujian paling besar setakat ini dari segi nak istiqamah. Nak bangun pagi untuk solat tahajud. Kalau masa awal-awal dulu rajin nak bangun. Lepas itu dah jadi slow. Kadang-kadang dapat solat Subuh saja. Nak kekal istiqamah dalam membuat amal ibadah dan buat benda baik ini bagi saya ujian besar. Tapi saya tetap bersyukur dalam perjalanan hidup saya.
Klik untuk gambar besar
"Walaupun dah hujung-hujung tapi Allah bawa juga kita dekat denganNya. Kalau dulu, saya suka pakai cap (topi) tapi sekarang lebih selesa pakai kopiah," demikianlah kata pelawak dan pengacara Nabil Ahmad yang mengakui pemergian Allahyarham Siti Sarah beri kesan mendalam kepada dirinya dan isteri, Nazirah Ayub.
Nabil, 37, meluahkan rasa syukur melihat banyak perubahan isterinya ke arah lebih baik selepas pemergian Allahyarham Siti Sarah pada 9 Ogos lalu. Dalam pada itu, Nabil berkata dia dan isteri sudah pun memadam gambar-gambar lama. Nabil juga mengakui ujian paling besar untuknya adalah untuk kekal istiqamah dalam melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.
Isteri kepada pengacara program Gegar Vaganza itu mula mengenakan hijab sejak Januari lalu manakala baru-baru ini ramai selebriti antaranya Nana Mahazan, Siti Elizad, Fieya Julia, Vicha Saywho dan Izara Aishah mula bertudung.
________________________
No comments:
Post a Comment