03 August 2021

PENYAKIT TIBI DAH SAMPAI OTAK - ABANG KEMBAR MOHON DOAKAN PELAKON IZUAN FITRI



Kerana penyakit tibi atau batuk kering, pelakon filem 'Munafik' dan 'One Two Jaga' iaitu Izuan Fitri, 19, kini menerima rawatan lanjut di Hospital Selayang.

Menurut abang kembarnya, Izuan Fikri, 19, yang dihubungi memaklumkan adiknya itu dikejarkan ke hospital pada 31 Julai lalu selepas diserang sawan.

"Setakat ini, adik saya Izuan belum sedarkan diri. Mengikut pemeriksaan doktor memaklumkan penyakit tibi dihidapinya sekitar dua tahun lalu sudah menyerang bahagian otaknya.

"Adik saya memang tak tahu dia ada menghidap penyakit tibi pun. Sebelum ini, dia memang kurang sihat apabila selalu batuk dan demam, tapi dia tidak mahu ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan. Jadi, kami ingatkan hanya sakit biasa.

"Cuma, pada 31 Julai lalu ketika saya dan kakak pergi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, Izuan hubungi saya memberitahu tangan dan kakinya kebas serta tidak boleh bergerak untuk ke tandas," katanya dalam nada sebak.

Menurut Izuan Fikri lagi, sebaik balik ke rumah dia terus membawa adiknya itu ke hospital dan ketika dalam perjalanan Izuan terus diserang sawan.

Dia yang kini menjaga adiknya di hospital itu berkata mereka sekeluarga sangat sedih dengan apa yang menimpa Izuan itu. Ujarnya, dia mohon pada orang ramai bantu titipkan doa-doa yang baik buat adiknya.

"Saya mohon pada semua orang untuk sama-sama mendoakan adik saya supaya dia sedar semula dan kembali sihat. Sekarang, dia tidur saja tapi jika disentuh masih ada tindak balas dan pergerakan.

"Doktor juga akan membuat pemeriksaan lanjut ke atas adik saya pada bahagian otaknya untuk memastikan kaedah rawatan terbaik dan sesuai termasuk melakukan pembedahan," jelasnya.

Pada Ogos tahun lalu, Izuan Fitri tampil mempromosikan filem 'Butak' lakonannya yang diarahkan pelakon dan pengarah, Sabri Yunus yang membariskan pelakon lain seperti Fimie Don, Melly Amalin, Khatijah Tan dan Kazar Saisi.

Terdahulu, sepanjang pembabitan dalam lakonan, Izuan juga pernah meraih trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin (ASK) TV3 pada 2015 dan Pelakon Kanak-kanak TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2016.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: