29 August 2021

PENYANYI LAGU 'CUTE', HARITH ZAZMAN SELAMAT BERGELAR SUAMI



Selepas lima bulan mengikat tali pertunangan, penyanyi lagu 'Cute (Stoplah Being So Cute)', Harith Zazman, 27, telah selamat mendirikan rumah tangga dengan model muzik video 'Cute', Nuramalina Ghakashah, 29, petang semalam, dengan sekali lafaz.

Majlis akad nikah yang patuh prosedur operasi standard (SOP) itu berlangsung di Pejabat Agama Hulu Langat dengan dihadiri pasangan pengantin dan bapa Nuramalina sebagai wali. Pada majlis pernikahan serba ringkas itu, Harith menyerahkan hantaran RM15,000 dan mas kahwin RM300.

Harith atau nama sebenarnya Mohamad Harith Saifulzazman, bersyukur semuanya majlis sederhana itu berjalan lancar: "Ikutkan perancangan, memang saya dan isteri pilih tarikh 28 Ogos untuk bernikah dengan adakan majlis di Kuala Lumpur tapi keadaan sekarang tidak mengizinkan.

"Alhamdulillah... walaupun tidak seperti yang dirancang tapi semuanya dipermudahkan. Kami hanya bernikah di pejabat agama sekitar 4 petang. Akad nikah mengambil masa dalam 20 minit sahaja kemudian pulang ke rumah untuk bergambar dan makan bersama keluarga," katanya.

Klik untuk gambar besar



Pasangan ini berkongsi gambar-gambar sekitar majlis akad nikah tersebut menerusi laman sosial Instagram milik masing-masing. Harith turut berkongsi foto dia menyarungkan cincin di jari isteri tersayang dengan luahan rasa kesyukuran.

Harith berkata, dalam diam, dia mencipta lagu 'Cute' untuk Nuramalina yang dikenalinya sejak setahun lalu: "Isteri saya seorang 'instafamous'. Kami berkenalan sejak setahun lalu ketika pandemik COVID-19 melanda.

"Mula-mula kami berkawan sehinggalah detik saya menawarkannya peluang muncul dalam klip video lagu 'Cute'. Akhirnya, dia dapat tahu lagu berkenaan ditujukan kepadanya. Kami kemudian makin rapat, bertunang Mac lalu dan akhirnya mengikat janji untuk bernikah," kongsinya.



Harith berkata, niat menganjurkan majlis resepsi terpaksa dipendam berikutan situasi semasa penularan COVID-19: "Perancangan untuk berbulan madu juga nampaknya 'tergantung'. Tidak mengapa, hendak buat macam mana. Bukan kuasa kita melawan kehendak takdir," jelasnya.

Dalam pada itu, Harith memberitahu mereka tidak mempunyai perancangan dalam soal zuriat memandangkan negara dalam keadaan tidak stabil akibat pandemik Covid-19.

"Soal anak, kami memang tiada apa-apa perancangan. Kalau ada rezeki, Alhamdulillah tapi kami tidak terlalu rushing untuk dapatkan anak. Lagipun, waktu sekarang ini tak berapa sesuai untuk dikurniakan cahaya mata... tunggu negara dalam keadaan stabil. Sekarang ini, saya nak enjoy dahulu dengan status sebagai suami dan tanggungjawab baharu bersama isteri," ujarnya.

Untuk makluman, Harith dan Nuramalina yang juga bekerja di sebuah syarikat penerbangan itu mengikat tali pertunangan pada 13 Mac lalu selepas genap setahun perkenalan di Instagram.









         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: