27 August 2021

"SAYA TAKUT! SAYA TAK PERNAH RASA KEHILANGAN..." - IBU AISAR KHALED POSITIF COVID-19



"Doakan Buat Mama Saya Sihat Sediakala. Beliau Positive Virus Covid-19 (STAGE 2). Hanya Engkau Sahaja Ya Allah Yang Memberi Ujian Ini Aku Redha Kau Yang Beri Kau Yang Menyembuhkan Ameen . @mama_aisar," kata Youtuber dan personaliti media sosial iaitu Aisar Khaled menerusi laman Instagram miliknya.

Dalam muat naik tersebut, Aisar telah memaklumkan ibunya, Roslina Abdul Rashid disahkan positif Covid-19 pada Khamis. Sedih bercampur bimbang, menurut Aisar, 21, ibunya kurang sihat sejak dua hari lalu sehinggalah ujian calitan (swab test) yang dilakukan di sebuah klinik swasta mendapati dijangkiti virus berkenaan.

Aisar turut berkongsi rakaman video ibunya yang berusia 61 tahun diambil menaiki ambulans untuk dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang, Selangor. Dalam pada itu, Aisar mengakui terlalu sedih sehingga menitiskan air mata selepas mengetahui keputusan ujian saringan ibunya itu.

Klik untuk gambar besar



"Ibu mula demam dan tak sihat selepas menerima suntikan vaksin dos kedua minggu lepas... tapi semasa itu hanya demam on off sahaja. Dua hari lepas dia demam semula, jadi semalam saya bawa ibu buat swab test. Barulah tahu ibu sudah dijangkiti Covid-19. Sebelum ini ibu tak keluar pergi mana-mana pun, hanya di rumah dan sesekali ke kedai berdekatan membeli barangan dapur.

"Tak tahu dari mana ibu dapat jangkitan ini. Alhamdulillah buat masa ini, ibu masih okay dan hanya mengalami simptom ringan. Semalam saya balik rumah, malam itu kami sekeluarga sama-sama solat berjemaah... saya menangis kerana terlalu sedih kerana kita tak tahu apa akan berlaku.



"Saya takut! Saya tak pernah rasa kehilangan orang tercinta. Tapi saya reda mungkin ini ujian Allah bagi tanda sayang pada kita. Pesan saya kepada yang ada ibu tu hargailah mereka, berbuat baiklah dengan keluarga. Mungkin ujian ini akan buatkan saya lebih menghargai orang sekeliling," ujarnya.

Sementara itu, Aisar memberitahu dia dan ahli keluarga lain akan melakukan ujian calitan secepat mungkin dan menjalani kuarantin kendiri di rumah: "Hari ini, saya, ayah dan abang akan pergi buat swab test di klinik berdekatan. Untuk keselamatan, kami akan kuarantin di rumah mengikut saranan kerajaan. Doakan semoga kami semua tidak dijangkiti virus berkenaan. Saya juga memohon orang ramai mendoakan agar ibu saya kuat dan segera pulih," tambahnya.

Nama Aisar Khaled sebelum ini hangat diperkatakan dan dihentam hebat oleh warganet gara-gara membuat kandungan media melibatkan pemergian penyanyi, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin dengan memuat naik satu hantaran video melawat pusara isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu.









         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: