30 August 2021

SELEPAS SEDEKAD, 33 BUAH FILEM MELAYU KLASIK TERBAIK CATHAY-KERIS BAKAL DITAYANG DI ASTRO BUAT KALI PERTAMA



Demi menghormati pelakon klasik berbakat besar, Astro telah bekerjasama dengan I.E. Entertainment yang berpengkalan di Singapura untuk membawa 33 buah filem terbaik Melayu Klasik daripada penerbit filem-filem Melayu terkemuka era terdahulu iaitu, Cathay-Keris Films.

"Pihak kami rasa amat berbesar hati dan teruja dapat bekerjasama bersama Cathay-Keris Films menerusi syarikat pengedarnya di rantau Asia, I.E. Entertainment Pte. Ltd. dalam membawakan 33 filem melayu klasik terbaik untuk dipersembahkan kepada penonton Malaysia dan Brunei menerusi platform Astro.

"Menariknya, kesemua filem tersebut akan ditayangkan semula setelah lebih 10 tahun tidak dipertontonkan di mana-mana platfrom televisyen berbayar Malaysia. Kami percaya nilai hiburan di dalam 33 filem ini pasti akan mengubati rindu penonton dengan karya-karya yang pernah mengecapi kegemilangan suatu ketika dahulu.

Klik untuk gambar besar



"Malah dalam pada yang sama memperkenalkan kepada generasi baru kepada filem melayu klasik. Lebih istimewa, filem-filem ini juga adalah sebagai tanda penghargaan buat barisan penerbit serta produksi gergasi, dan nama-nama besar yang pernah mewarnai industri perfileman melayu seperti Nordin Ahmad, Latifah Omar, Hajah Umi Kalsom, Mat Sentul dan ramai lagi.

"Kami harap initiatif ini mampu membuatkan karya-karya seni tempatan sentiasa dihargai dan tidak lapuk ditelan zaman," kata Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad.

"Saya rasa amat gembira dengan usaha Astro dalam mempersembahkan Filem Klasik Melayu di Malaysia dan Brunei menerusi platform Astro. Kami percaya Astro adalah rakan kerjasama terbaik dalam mengembalikan nostalgia filem klasik Melayu daripada arkib Cathay-Keris Films kepada penonton muda yang akan menontonnya buat pertama kali sekali gus melihat bagaimana pembikinan filem yang telah berkembang selama bertahun-tahun.


"Ini adalah cara yang baik untuk mengenali filem, era, dialek, trend fesyen, gaya, dan proses pembikinan karya Melayu," ujar Indra Suharjono, Pengasas Bersama I.E. Entertainment.

Untuk makluman, kesemua 33 buah filem tersebut adalah antara filem hebat yang pernah ditayangkan pada tahun 1950an sehingga 1960an. Antaranya adalah Pontianak Gua Musang, Sumpah Pontianak, Jula Juli Bintang Tiga, Tunang Pak Dukun, Dang Anom, dan Chuchu Datuk Merah yang menampilkan sentuhan gubahan muzik oleh komposer Singapura yang terkenal dengan menghasilkan lagu kebangsaan negara tersebut, Zubir Said.

Filem-filem ini akan ditayangkan di Astro Citra dan Astro Prima serta platform penstriman OTT, Astro Go dan On Demand bermula September 2021. Malah ini merupakan kali pertama karya-karya tersebut akan ditayangkan di Astro selepas lebih sedekad.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: