25 August 2021

SINGLE TERBARU - FAZLI ZAINAL TAK JADI LANCAR DARI HOSPITAL, KEMUNGKINAN DISCHARGE



"Ini bukanlah gimik, sebaliknya saya merasakan kesihatan semakin baik. Daripada tidak berbuat apa-apa, saya merasakan sesuai melancarkan single 'Mantan Yang Terluka'. Saya kira trend zaman sekarang majlis pelancaran diadakan secara virtual, jadi boleh melakukan di mana-mana sahaja.

"Awalnya, saya rasa agak 'thrill' apabila nak lancar single dari hospital, namun tidak menjadi kenyataan. Saya mendapat tahu akan dibenarkan keluar hospital dalam masa terdekat. Jadi, saya terpaksa menukar tarikh pada Isnin, minggu depan. Jadi, majlis pelancaran single Yang Terluka secara virtual boleh dilakukan dari rumah sahaja," jelas penyanyi Fazli Zainal.

Menurut Fazli, pada mulanya dia merancang mengadakan majlis pelancaran single terbaharu berjudul 'Mantan Yang Terluka' secara virtual dari Hospital Ampang pada Jumaat ini, namun hasratnya itu tidak kesampaian berikutan terpaksa dianjak ke tarikh 30 Ogos ini disebabkan kemungkinan sudah keluar dari hospital.

Fazli berkata, keadaan kesihatannya kian stabil disebabkan itu mempunyai keinginan mengadakan majlis pelancaran single berjudul Mantan Yang Terluka secara virtual dari Hospital Ampang. Single 'Mantan Yang Terluka' itu ciptaan komposer Ajai dan liriknya nukilan Ahmad Fedtri Yahya.

Fazli atau nama sebenarnya Fazdli Zainal berkata, dia akan memaklumkan perkembangan kesihatan dan menceritakan pengalaman menjadi pesakit COVID-19 pada majlis pelancaran single 'Mantan Yang Terluka'. Fazli berkongsi, video muzik 'Mantan Yang Terluka' juga akan dipertontonkan pada majlis secara virtual itu.

"Setakat ini, keadaan kesihatan saya masih turun naik, tetapi semakin pulih. Insya-Allah, saya tahu dan mula sedar ramai yang sayang dan mendoakan saya cepat sembuh. Namun, keadaan saya masih dalam pemantauan pihak hospital.

"Alhamdulillah, saya sudah tidak bergantung kepada penggunaan mesin pernafasan. Jika tiada lelah atau penat, doktor tidak membenarkan penggunaan oksigen. Tahap oksigen paling rendah pun sekitar 81 peratus, manakala paling tinggi dalam 97 peratus.

"Kali terakhir saya keluar single duet dengan Bob Yusof berjudul Kurnia pada 2017. Rakaman projek single baharu ini dilakukan, tahun lalu. Single 'Mantan Yang Terluka' berentak pop balada. Ia adalah projek istimewa saya bersama Ajai dan Wake The Baby Records yang menghimpunkan 100 artis untuk menyanyikan lagu ciptaannya.

"Ini juga kali pertama saya merakamkan single ciptaan Ajai. Sebelum ini, saya lebih banyak menyanyikan lagu saduran sejak zaman program Malaysian Idol lagi," ujar penyanyi lagu 'Harapan' yang disahkan positif COVID-19 dan dikejarkan ke Hospital Ampang pada hujung Julai lalu selepas sesak nafas.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: