07 August 2021

SITI SARAH DITIARAPKAN, ADA SEDIKIT DARAH BEKU DI PARU-PARU



"Doktor maklumkan Sarah sudah ditiarapkan dengan harapan oksigen dan paru-paru boleh bekerjasama," itulah kata pelawak Shuib Sepahtu mengenai keadaan terkini isterinya, penyanyi Siti Sarah.

Shuib ketika dihubungi berkata, harapan mereka sekarang adalah paru-paru boleh kembali normal dan bekalkan oksigen dalam badan Sarah. Dalam pada itu, Shuib turut memaklumkan, terdapat sedikit darah beku di paru-paru isterinya itu.

"Sarah sudah hampir 30 jam koma sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Memandangkan Sarah kena jangkitan Covid-19, jadi paru-paru dia banyak terkesan.

"Jantung pun sudah lemah. Mungkin Sepanjang pembedahan mengeluarkan bayi semalam, jantung sudah bekerja banyak. Difahamkan juga, ada sedikit darah beku di paru-paru. Doktor kata, buat masa sekarang tak boleh apa-apa lagi sebab semalam baru lepas menjalani pembedahan.

"Setiap kali ada panggilan nombor tak dikenali masuk saya menjadi takut. Dalam masa sama saya perlu jawab sebab bimbang ia daripada doktor yang mahu mengemaskini keadaan Sarah atau berita sebaliknya," jelasnya.

Menurut Shuib, setiap hari tanpa Sarah di sini membuatkan dirinya rindu dan hati menjadi sayu: "Apabila rindu datang, jadi sakit, memang susah rasa. Di rumah ini saya teringat-ingat dia. Setiap sudut yang dia selalu ada, mesti teringat. Nak kawal sayu, tapi tak boleh. Saya selalu bercakap dalam hati dan cakap seorang diri dengan harapan dia dengar," ujarnya.

Klik untuk gambar besar



Dalam masa sama, Shuib meluahkan rasa terharu apabila setiap hari mendapat mesej dan kiriman gambar anak-anak tahfiz dan orang persendirian yang membaca Yasin dan doa selamat buat Sarah.

"Saya terlalu terharu apabila dalam keadaan sekarang, ada saja orang hantar gambar anak-anak tahfiz baca Yasin. Terima kasih banyak sebab mendoakan Sarah. Ia satu rahmat terlalu besar untuk kami.

"Memang saya hanya boleh mohon orang doakan dia, tapi tidak menjangka ada sampai buat sendiri majlis doa selamat dan bacaan Yasin. Saya balikkan semua doa kepada mereka. Kepada yang sedang menderita Covid-19, semoga terus tabah. Ini masa kita sama-sama doakan orang lain," katanya.

Menerusi muat naik terbaru di laman Instagram, Shuib memberikan kata-kata semangat buat isteri yang berjuang melahirkan anak keempat mereka. Shuib juga berharap agar Sarah tidak tidur lama kerana dia, anak-anak serta keluarga lain terlalu merinduinya.

"Sayang I tau u dah buat yg terbaik... U dah fight smpi anak kita dah selamat pon dilahirkan. Ayash Affan dah bukak mata, kaki dah tendang2, tangan dah gerak syukur Alhamdulillh dan skrg u penat dan SEDANG TIDUR, TP JGN TIDUR LAMA2 EH SAYANG...

"I, ANAK2 dan FAMILY SEMUA RINDU U... SEMUA MENUNGGU U DKT RUMAH SAYANG... JGN TIDO LAMA SGT TAU, KUAT KAN SEMANGAT DAN BUKA MATA OK. LOVE U SAYANG @sitisarahraissuddin MOHON SEMUA TERUS MENDOAKAN SARAH YA. #covidfighter #07082021," tulis Shuib.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: