Pelakon Aeril Zafrel yang dijangkiti virus Covid-19 buat kali kedua itu kini berada dalam keadaan baik selain selera makannya kembali normal. Isterinya yang juga pelakon, Wawa Zainal atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, 29, berkata, sebagai langkah berjaga-jaga mereka sudah membeli mesin bantuan oksigen sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku kecemasan.
"Aeril okay sahaja sekarang dan dia jalani kuarantin di tingkat atas rumah... saya hanya naik tingkat atas untuk hantar makanan pada dia sahaja. Saya dan anak-anak hanya berada di tingkat bawah dan tidur pun di sini.
"Alhamdulillah setakat ini Aeril tidak mengadu apa-apa tapi saya dah beli mesin bantuan oksigen dan dah letakkan di bilik... saya pun minta dia monitor dengan alat penguji level oksigen," katanya.
Sebelum ini, Aeril memberitahu dia disahkan positif Covid-19 buat kali kedua pada Rabu lalu. Pelakon filem 'Sabda Kekasih' itu pernah dijangkiti virus berkenaan pada Januari lalu selepas berjangkit daripada pengurusnya.
Klik untuk gambar besar
"Hmm, positif Covid-19 lagi. Tahun ini sahaja dah dua kali kena... padahal duduk rumah sahaja. Ada yang macam ni? Duduk rumah pun positif?" tulis Aeril menerusi laman Instagram sebelum ini.
Sementara itu, Wawa mengesyaki suaminya berkemungkinan dijangkiti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dihadiri mereka pada dua minggu lalu.
"Saya rasa Aeril mungkin dijangkiti ketika kami pergi dapatkan suntikan vaksin pada 25 Julai lalu. Yelah, di situ ramai orang dan kadang-kadang ada orang yang tidak berapa jaga SOP... itu yang saya syak. Mungkin kali ini keadaan Aeril tidak berapa teruk sebab dia dah terima suntikan vaksin pertama," ujar Wawa lagi.
Untuk makluman, pasangan itu berkahwin pada 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 8, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 6, serta Aya Soffya kini berusia setahun.
________________________
No comments:
Post a Comment