26 August 2021

TAK HALAL DUNIA AKHIRAT CURI LAGU, KARYA TANPA IZIN - AMY SEARCH



"Saya memang pantang kalau ada pihak atau individu yang suka-suka curi hasil kerja dan seni tanpa minta izin terlebih dahulu. Lama dah saya perasan, mereka senang-senang kaut keuntungan daripada kesempitan orang lain. Berkatkah rezeki yang diterima itu? Penat lelah kita bekerja siang malam langsung bagai tidak dihargai," itulah kata penyanyi rock tanah air, Amy Search yang menyelar tindakan sesetengah individu tidak bertanggungjawab yang sesuka hati menggunakan hasil karya seninya tanpa keizinan.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata, perkara ini bukanlah satu yang baharu dan menimpa dirinya saja sebagai anak seni, tetapi dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Tambah pelantun lagu hit 'Isabella' itu, dia tidak kisah sekiranya ada pihak yang mahu cover (nyayikan semula) lagu-lagunya, tetapi bukan bertujuan mencuri karya dan mengaut keuntungan daripadanya.

"Kau nak cover ke apa ke, terpulang. Yang itu saya hargai. Ini suka-suka hati compile (gabungkan) semua lagu-lagu, lepas tu siap jual dalam bentuk cakera padat (CD) tanpa minta izin, bagus ke semua tu? Bukan setakat CD je, ada juga yang compile berpuluh-puluh lagu dan muat naik dalam YouTube. Gunakan lagu sambil promosi produk pun ada. Minta izin langung tiada, kredit apatah lagi. Dia ingat kita ni senang ke nak rakamkan semua karya tu," ujarnya.

Terdahulu, bapa kepada aktres versatil, Nabila Huda itu memuat naik sebuah hantaran berserta firman sebuah surah dalam Facebook miliknya menyuarakan ketidakpuasan hati apabila karyanya kerap dicuri.

"Sesungguhnya wa (saya) tidak reda sesiapa yang mencuri hasil seni suara wa atau hasil kerja wa dengan tanpa meminta izin, makanya tidak akan halal dunia akhirat. Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu," tulisnya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut dan peminatnya turut bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan Amy dan menyifatkan perbuatan mencuri karya seni orang lain seakan-akan sudah sebati dalam diri.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: