24 August 2021

TAUKE BERSYUKUR TIDAK DIDAKWA: "AKHIRNYA KEBENARAN TERJAWAB..."



"Syukur akhirnya kebenaran terjawab. Saya bukan bapa ayam seperti didakwa. Keluarga juga lega apabila mendapat tahu saya benar-benar tidak bersalah. Jadi, mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan tidak betul sebelum ini harap dapat membersihkan nama saya.

"Walaupun sebelum ini saya sudah berterus terang, tetapi ramai tidak percaya. Takkan saya mahu mencanang kepada semua orang bahawa saya tidak salah dan tak mudah untuk saya melenyapkan fitnah yang menimpa saya. Saya kesal dengan apa yang terjadi. Jika saya seorang dikecam dan dihina, tidak mengapa.

"Namun, saya lebih sedih apabila ada yang turut mengheret anak-anak dan keluarga. Disebabkan itu, saya tekad dengan keputusan meninggalkan industri hiburan. Lebih baik, saya melakukan kerja lain daripada terus menjadi mangsa tohmahan dan cacian. Banyak lagi yang boleh saya lakukan, rezeki Allah yang bagi dan ada di mana-mana saja.

Klik untuk gambar besar



"Jadi buat apa saya nak takut. Sekarang saya mahu mengutamakan keluarga dulu dan fokus pada perniagaan kecil-kecilan. Berhati-hati sebelum menuduh seseorang. Jadikan iktibar atas apa yang berlaku pada saya. Jangan sesuka hati memberi komen sehingga mengecilkan hati orang lain.

"Jangan membiasakan diri memberi komen tanpa mengetahui kebenaran cerita," ujar pelawak Tauke Jambu yang meluahkan rasa syukur apabila pihak polis mengesahkan dia bukanlah individu yang dikaitkan dengan aktiviti pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks.

Reda dengan ujian yang berlaku, Tauke bagaimanapun berharap supaya semua pihak menghentikan fitnah berat yang dilemparkan terhadapnya. Menurut Tauke, dia berharap warganet supaya berhati-hati memberikan komen dan menyiasat secara terperinci kerana boleh mengundang fitnah.


Mengakui kejadian yang berlaku memberi satu tamparan hebat kepada dirinya, Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria tekad untuk meninggalkan dunia hiburan.

Semalam, media melaporkan polis mengesahkan seorang pelawak yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes pemerdagangan manusia tidak akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, hari ini.

Terdahulu media melaporkan seorang pelawak berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah dalam serbuan Op Pintas.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: