24 August 2021

KAKI KOMEN TAMPIL MOHON MAAF, JANJI TAKKAN ULANG LAGI



Selepas didakwa menulis dan menyebarkan artikel berbaur fitnah terhadap keluarga pelakon dan penerbit, Sheila Rusly, blogger Kaki Komen menerusi laman sosial telah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka, hari ini.

Dalam hantaran itu, pihaknya memohon maaf secara terbuka atas penerangan (caption) artikel mereka yang didakwa berbaur fitnah terhadap keluarga Sheila Rusly dan menantunya yang juga pelakon, Elisya Sandha.

"Kami selaku admin Kaki Komen ingin memohon maaf secara terbuka atas kesilapan 'caption' mengenai Elisya Sandha dan Sheila Rusly. Dengan ini, kami ingin memohon maaf kepada keluarga Jinggo (suami Sheila), Sheila, keluarga Elisya Sandha dan mengakui kesilapan serta berjanji tidak akan mengulangi lagi.

"Saya mahu berkongsi kesedaran saya dengan rakan-rakan blogger yang lain supaya pastikan sumber itu benar sebelum membuat sesuatu hantaran kerana sesungguhnya, dosa, pahala, syurga dan neraka itu benar," tulisnya.

Terdahulu, blogger terbabit memuat naik kenyataan kononnya Sheila pernah 'mencadangkan' nama pelakon, Janna Nick sebagai calon isteri untuk anaknya, Uzair Haqimy tetapi ditolak Janna sebelum Uzair memilih Elisya.

Sehubungan itu, Sheila mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap blogger terbabit yang didakwa menabur fitnah kepada keluarga, anak dan menantunya. Untuk makluman, Uzair dan Elisya melangsungkan pernikahan, Sabtu lalu.

Sheila berkata, keputusan itu dibuat kerana fitnah itu membabitkan maruah banyak pihak. Dia juga mendakwa mereka menggembar-gemburkan seolah-olah menantunya iaitu Elisya Sandha adalah pilihan kedua.

Sementara itu, Sheila ketika dihubungi berkata, dia berharap insiden itu memberi kesedaran kepada mana-mana individu yang suka menyebarkan fitnah. Ditanya sama ada dia akan meneruskan dengan tindakan undang-undang, Sheila berkata, dia masih lagi mempunyai sifat toleransi.

"Nanti saya akan maklumkan. Saya masih ada sifat tolak ansur lagi. Dalam keadaan kita yang serba kesempitan ini, tidak bermakna mereka boleh terus mengambil kesempatan," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: