24 August 2021

20 JULAI LALU - DAYANA ROZA SELAMAT LAHIRKAN BAYI PRAMATANG



"Alhamdulillah, saya selamat melahirkan bayi pramatang secara normal. Keadaan saya dan bayi okay. Astrid dilahirkan seberat 2.4 kilogram, jam 11 malam di sebuah hospital swasta di ibu kota. Ikutkan, melahirkan bayi tidak cukup bulan sudah jadi perkara biasa dalam kehidupan saya dan keluarga.

"Saya sendiri lahir tidak cukup bulan. Malah, adik pun mengalami situasi sama. Jadi, ia bukanlah sesuatu yang pelik dalam keluarga saya. Cuma, saya bersyukur tiada komplikasi berlaku pada bayi," kata pelakon Dayana Roza yang memaklumkan dia sudah pun selamat melahirkan bayi pramatang diberi nama Astrid Raheeya pada 20 Julai lalu.

Lebih sebulan melahirkan anak sulungnya barulah pelakon drama 'Ajari Playboy Itu' dan 'Seadanya Aku' itu bersedia berkongsi kisah melahirkan bayi pramatang diberi nama Astrid Raheeya yang dilahirkan secara normal pada Aidiladha lalu. Jelas Dayana, dia sepatutnya melahirkan anaknya sulungnya itu, bulan depan.

Menceritakan kejadian sebelum melahirkan anak, Dayana atau nama sebenar, Nur Dayana Kamsun Baharin berkata, dia begitu rancak menikmati hidangan juadah pagi raya.

Klik untuk gambar besar



"Lucunya, saya menikmati betul-betul juadah pagi raya seperti lemang, rendang dan sebagainya. Sebelah petang sebelum dimasukkan ke hospital selepas mengalami pendarahan, tetapi tidak begitu teruk. Malamnya, saya selamat melahirkan anak. Saya bimbang juga sebab bayi dilahirkan tidak cukup bulan, bimbang berlaku apa-apa komplikasi, tetapi semua baik-baik sahaja. Seminggu juga saya bermalam di hospital," kongsinya.

Pelakon yang digilap bakat menerusi program realiti, Anak Wayang itu berkongsi, emosinya tidak stabil ketika hamil: "Ketika berbadan dua, saya agak tertekan. Namun, tak pasti apakah berkaitan dengan situasi semasa COVID-19 atau perkara lain. Saya suka fikir bukan-bukan, ketika itu. Saya harap emosi tidak terbawa-bawa selepas melahirkan anak. Sekarang saya mahu berehat dan memberi tumpuan sepenuhnya pada bayi. Harap suami tidak cemburu," selorohnya.



Tambah Dayana, dia mula mengamalkan pengambilan minuman susu kambing dan makanan tambahan ketika hamil: "Hingga kini, saya terus mengamalkan rutin minum susu kambing dan makanan tambahan. Lagipun, saya menyusu badan, jadi perlu banyak tenaga dan khasiat untuk anak," katanya.

Mengenai pilihan nama anak, Dayana yang mendirikan rumah tangga dengan usahawan, A'dale Adham Ayahudin pada 25 Disember tahun lalu itu memberitahu, ia adalah keputusan bersama suaminya:

"Astrid membawa maksud keindahan dan kekuatan. Raheeya pula diambil daripada nama arwah ibu suami saya. Cuma ejaan asal arwah ibu mentua dieja Rahiya. Tetapi, saya ubah ejaan menjadi Raheeya dan membawa maksud setia dan penyayang," jelasnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: