03 September 2021

AISHAH MAKIN STABIL SELEPAS 5 HARI DIRAWAT



Penyanyi Aishah dilaporkan terus stabil, selepas lima hari selepas dirawat di Hospital Ampang akibat dijangkiti virus COVID-19. Perkembangan terkini Aishah atau nama sebenar, Wan Aishah Wan Ariffin, 56, dikongsi Presiden Kelab Peminat Aishah, Dr Nazlin Nadzri melalui akaun Instagram (IG) rasmi kelab peminatnya, @aishahfcff_official, sebentar tadi.

"Saya hubungi Aishah secara langsung dan dimaklumkan keadaannya makin baik. Bantuan oksigen sudah boleh dikurangkan. Namun, penggunaan alat bantuan pernafasan masih diperlukan," katanya.

Menerusi entri yang dikemaskini beberapa minit kemudian, peminat turut dimaklumkan mengenai keadaan Aishah yang baru selesai menjalani pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT) atau imbasan CT: "Baru selesai periksa imbasan CT... Nampak semakin baik," jelasnya.

Semalam, akaun IG itu mengumumkan berita gembira apabila paras oksigen penyanyi yang popular dengan lagu 'Kemaafan Dendam Yang Terindah' itu meningkat 98 peratus.

Terdahulu, bekas penyanyi utama kumpulan The Fan Club yang mencipta populariti di New Zealand pada era 1980-an ini meluahkan kebimbangan enggan menjalani prosedur intubasi atau ditidurkan berikutan paras oksigen tidak stabil.

Perasaan itu timbul selepas Aishah melihat seorang pesakit dibawa ke unit rawatan rapi (ICU) untuk menjalani prosedur itu. Aishah disahkan positif COVID-19, Ahad lalu, selepas melakukan prosedur Kit Ujian Pantas (RTK) di sebuah pusat perubatan swasta berikutan demam panas dan semput.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: