15 September 2021

ALAM WAKAKA KENA 'SURPRISE' DENGAN ISTERI, BAKAL BERGELAR AYAH



"Memang terkejut sangat sampai saya hilang kata-kata, terasa macam nak pengsan... Alhamdulillah ini adalah hadiah paling bermakna sepanjang 35 tahun saya di dunia," demikian tutur pelakon dan penari Alam Wakaka apabila dia baru-baru ini telah menerima kejutan yang cukup bermakna daripada isterinya, Nurul Alisya Najwa Hazman dimana dia bakal bergelar ayah.

Kejutan tersebut adalah sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-35 Alam yang diadakan bersama keluarga pada malam Selasa. Menurut Alam atau nama sebenar Haslam Abdul Rahman, dia tidak menyangka akan menerima 'hadiah' istimewa itu. Lebih membuatkan dia terharu, apabila isteri dan keluarga merahsiakan mengenai berita gembira itu.

"Rupa-rupanya sudah beberapa hari isteri, kakak ipar dan ibu mentua berpakat merahsiakan hal ini sampailah malam sambutan hari jadi... saya tak tahu langsung tentang kejutan ini! Semasa mereka suruh buka kotak hadiah, saya ingat mereka nak prank letak lipas dalam tu... tapi tak sangka ada baju baby dan alat ujian kehamilan," kongsinya.

Klik untuk gambar besar



Untuk makluman, Alam dan Najwa, 20, mendirikan rumah tangga di Pejabat Agama Segamat, Johor pada 7 Mac lalu. Sementara itu, Alam memberitahu isterinya yang kini hamil sebulan tidak pernah menunjukkan sebarang simptom ibu mengandung.

"Selama ini memang saya tak sedar tanda isteri hamil, ada la sesekali dia muntah-muntah tapi saya fikir itu perkara biasa kerana salah makan. Minggu lepas dia dan ibu mentua pergi buat pemeriksaan doktor tanpa pengetahuan saya... mereka simpan rahsia sebab sudah merancang nak buat kejutan sempena birthday saya.



"Syukur kesihatan isteri baik-baik sahaja. Rasa macam mimpi, bangun tidur pagi ini saya terus tanya isteri dulu apa yang diperlukan sebab dah tahu dia hamil," ujarnya.

Ditanya mengenai jantina anak, Alam berkata dia tidak kisah dan menerima apa jua rezeki yang diberikan oleh Allah SWT: "Tentang jantina saya tak kisah. Lelaki atau perempuan kami terima sahaja. Kandungan isteri pun masih baharu, jadi penjagaan itu lebih penting.

"Saya dan isteri pun sebelum ini tak pernah terlalu memikirkan tentang zuriat, kami selalu fikir kalau ada rezeki, ada la... Syukur Alhamdulillah rezeki isteri hamil selepas beberapa bulan kami berkahwin. Doakan semoga isteri dan anak saya terus sihat sehingga hari kelahiran ya," katanya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: