13 September 2021

ALI KATA JANGAN CUBA-CUBA TABUR FITNAH: "SAYA ARTIS YANG BACA KOMEN..."



"Saya pelik dengan netizen sekarang, terlalu mudah menulis ikut rasa dalam media sosial dan gemar mencari masalah," kata pelawak Ali Puteh yang kesal apabila dia sekali lagi difitnah menggunakan duit abangnya, Allahyarham Abam Bocey dek kerana memuat naik gambar di kebun durian.

Meskipun isu pembahagian harta peninggalan arwah Abam sudah pun selesai, namun Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan masih lagi menerima komen negatif daripada netizen.

"Orang kata saya seronok guna duit arwah abang, di mana logiknya itu? Mereka yang cakap itu ada bukti tak? Mana mereka tahu saya guna duit arwah? Saya tak tipu, memang saya cari individu yang lemparkan fitnah itu. Saya berjaya dapat nombor telefonnya dan apabila dihubungi, tiba-tiba dia kata nombor telefon itu untuk urusan bisnes dan milik saudaranya.

"Bila saya tekankan untuk berjumpa, seolah berdalih. Saya tak minta banyak, cuma nak minta orang yang lempar fitnah sebegini sertakan bukti, kalau betul apa yang mereka tuduh itulah," ujarnya lagi.

Klik untuk gambar besar



Tambah Ali lagi, tiada siapa mahukan dirinya terpalit dengan kontroversi. Namun sehingga kini dia masih menerima komen negatif dan anaknya juga turut dicaci.

"Sejak arwah Abam meninggal, sampai ke hari ini saya masih menerima mesej atau komen negatif yang menghina, mencaci dan menuduh saya begitu dan begini. Setiap hari! Sampaikan anak saya yang baru lahir sebelum ini pun orang caci.

"Sebab itulah saya dah tak kongsikan lagi gambar anak, isteri dan keluarga dalam media sosial. Nanti akan ada sahaja orang caci. Isteri saya yang kini sedang mengandung enam bulan pun saya tak kongsikan hal itu," tuturnya.


Ali berkata dia sudah berdepan dengan individu yang melemparkan tuduhan kepadanya, namun apabila bersemuka ada sahaja alasan. Ali turut memberi amaran bahawa dia membaca komen setiap netizen.

"Bila ajak bersemuka, minta bukti. Bila saya nak saman, eh, tiba-tiba macam-macam alasan dan cerita sedih keluar. Akaun media sosial kena sabotajlah, digodamlah, dia orang susahlah, stres akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mengarut!

"Semasa mereka menulis dan menyebarkannya, tak pula fikir semua itu? Kalau artis lain bolehlah mereka buat macam itu sebab ada yang jenis tak baca komen dan tak kisah.

"Maaf, saya artis yang baca komen dan akan cari setiap orang yang cuba mencipta masalah dengan saya. Jadi jangan cuba-cuba tabur fitnah tak berasas," akhirinya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: