20 September 2021

DITAHAN DI BANGKOK - SAJAT DIDAKWA MOHON PERLINDUNGAN & KEBENARAN BERPINDAH KE AUSTRALIA



Usahawan kosmetik Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, yang menghilangkan diri hampir lima bulan itu akhirnya dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand 8 September lalu. Sajat ditahan oleh pihak berkuasa negara gajah putih itu selepas mendapat maklumat mengenai keberadaan usahawan kosmetik di Bangkok, Thailand daripada pihak berkuasa Malaysia.

Sajat dipercayai memakai purdah dan niqab sebagai taktik untuk meloloskan diri ke Thailand yang dibantu oleh seorang lelaki serta membayar sebanyak RM20,000 untuk selamat tiba di Bangkok. Sajat dikatakan dibawa menaiki sebuah kenderaan dari Lembah Klang ke Lebuhraya Utara Selatan (Plus) sebelum dibawa ke Padang Besar, Perlis.

"Nur Sajat yang ketika itu sedang bersembunyi di Lembah Klang mula mencari jalan untuk keluar ke negara ini. Dia kemudiannya diperkenalkan kepada seorang lelaki yang mahir dengan selok-belok di kawasan sempadan sebelum bersetuju membayar RM20,000 sehingga selamat tiba di Bangkok. Lelaki ini dipercayai mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand. Siasatan lanjut sedang dilakukan," katanya.

Sumber berkata, Sajat ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan. Memperincikan perkara itu, sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa berdasarkan maklumat dikongsikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pihak berkuasa Thailand mengenai lolosnya usahawan berkenaan ke negara berkenaan pada awal Mac lalu, usaha mengesannya dilakukan jabatan imigresen Thailand.

"Pada 4 Jun, pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Nur Sajat iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok. Selepas risikan dan intipan dilakukan, pada 8 September sekitar jam 6 petang (waktu Thailand) serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya.

Klik untuk gambar besar



"Hasilnya, Nur Sajat ditahan dan semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia. Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia," ujarnya memaklumkan Sajat ditahan bersama dengan seorang lelaki tempatan (Thailand) yang juga berperwatakan sepertinya di kondominium mewah itu.

Menurutnya, Nur Sajat kemudiannya dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara gajah putih itu. Bagaimanapun, Sajat dibebaskan pada 10 September lalu dengan jaminan sebanyak AS$2,000 (RM8,343) dan diikat jamin oleh kenalannya dikenali sebagai Misha. Namun, Sajat dikatakan perlu hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari. Sumber memaklumkan, Sajat masih berlindung di kondominium mewah di tengah ibu kota Bangkok itu.

"Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Nur Sajat bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan. Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat. Walaupun dia dibebaskan dengan jaminan, Nur Sajat diarahkan untuk hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari," jelasnya.

Difahamkan, pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Sajat pulang namun agak sukar kerana melibatkan campur tangan pihak antarabangsa serta pertubuhan tertentu yang menghalangnya.

"Usaha membawanya pulang untuk menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor atas kesalahan berpakaian wanita yang dilakukannya di Shah Alam pada tahun 2018 itu sedang berlangsung. Rundingan agak sukar tetapi kita tetap optimis untuk membawanya pulang. Sukar disebabkan ada campur tangan pihak antarabangsa membabitkan negara dan pertubuhan tertentu yang menghalangnya," tuturnya.


Malah, Sajat juga didakwa sedang memohon perlindungan dan kebenaran untuk berpindah ke Australia. Sumber memberitahu bahawa ketika ditahan pihak berkuasa imigresen Thailand pada 8 September lalu, Sajat hanya menunjukkan salinan pasportnya kepada pegawai penyiasat melalui telefon bimbitnya.

Sumber sama memaklumkan, ibu pejabat UNHCR di Bangkok juga sudah menyediakan peguam untuk Nur Sajat dan dilaporkan bersedia membantunya untuk mendapatkan kebenaran berpindah ke Australia. Skuad Khas Harian Metro sedang mendapatkan ulasan UNHCR Malaysia dan Bangkok serta Kedutaan Australia di Malaysia berhubung dakwaan itu.

"Semakan imigresen Thailand mendapati pasport Nur Sajat dibatalkan kerajaan Malaysia. Dia (Nur Sajat) kemudian menyerahkan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan memaklumkan adalah seorang pelarian.

"Hasil soal siasat dilakukan pegawai imigresen Thailand, Nur Sajat memaklumkan dia sedang mendapatkan kebenaran berpindah dan berlindung di Australia. Semakan mendapati Nur Sajat memperoleh kad UNHCR yang dikeluarkan ibu pejabat badan itu di Bangkok. Beberapa urusan berkaitan perpindahan Sajat juga sedang diusahakan UNHCR dengan wakil kedutaan Australia di Bangkok," jelasnya.

Ditanya apa alasan sebenar Nur Sajat untuk memohon kad pelarian dan berpindah ke Australia, sumber berkata, usahawan kosmetik itu mendakwa dia mendapat ugutan bunuh selepas mengumumkan keluar daripada Islam selain diburu lebih 100 penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: