20 September 2021

HIDAP TUMOR OTAK - ANGGOTA NURADEE, NUR PERLU BANTUAN KEWANGAN



Penyanyi Nuradee iaitu Nur baru-baru ini yang disahkan menghidap tumor otak itu kini memerlukan bantuan kewangan. Maka dari itu, Organisasi Prihatin Singapura bakal menganjurkan Konsert Darurat Nuradee pada Rabu ini, jam 9 malam, secara langsung di laman Facebook rasminya.

Konsert terbabit adalah bertujuan mengumpul derma. Pada acara terbabit, seorang lagi anggota duo terbabit iaitu Adee akan menjadi wakil untuk hadir mengikuti konsert berkenaan.

"Adee (Nuradee) akan bersama kami di Konsert Darurat Nuradee pada 22 September ini secara 'FB LIVE' di page Prihatin Singapura bermula 8 malam. Anda boleh membuat sumbangan terus ke Fizah Kangen Fizah Kangen melalui PAYNOW di talian 84982624. Sumbangan dan sokongan anda amat dihargai," kata Prihatin Singapura.

Konsert amal itu bakal dimeriahkan penyanyi terkenal termasuk Datuk Ramli Sarip serta artis tempatan Singapura seperti Aisyah Sinnan, Masnie, Imma Pink, Rafaat Hamzah, dan ramai lagi.

Pada 14 September lalu, Nur atau nama sebenarnya Mohd Noor Abdullah, 53, akhirnya sedar semula selepas sebulan koma di Hospital Besar Sengkang (SKH).

Meskipun sudah dibenarkan pulang ke rumah, Adee yang juga abangnya mendedahkan Nur disahkan menghidap tumor otak dan ingatannya hilang sekitar 50 peratus.

Terdahulu, dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Johor Bahru sebelum dipindahkan ke SKH. Disebabkan terlantar dua bulan, bil rawatannya mencecah RM248,000.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: