"Ya Allah, YouTube channel Nabila Razali Entertainment kena godam! Hati saya hancur. Sekarang team saya sedang berbincang dengan YouTube untuk menyelesaikan masalah ini. Harap sangat Bella dapat semula akaun itu. Korang tolong doakan ya! Tak ada mood hari ini," kata penyanyi dan pelakon Nabila Razali menerusi Instastory pada Isnin.
Selepas kedai ayam goreng dipecah masuk, nampaknya Nabila sekali lagi diuji apabila saluran YouTube miliknya Nabila Razali Entertainment digodam pihak tidak bertanggungjawab pada pagi Isnin.
Nabila, 29, berkata, dia terkejut apabila menerima emel daripada pihak YouTube yang menyatakan saluran berkenaan memuat naik kandungan yang melanggar terma dan syarat.
Katanya, sehingga kini dia masih belum mengetahui punca akaunnya itu dipadam, namun pihak pengurusannya sedang berusaha mendapatkan semula akaun berkenaan.
Klik untuk gambar besar
Sementara itu, pengurus Nabila iaitu Mohd Asrul Abdul Talib berkata mereka mula menyedari kehilangan akaun yang memiliki hampir 400,000 pengikut itu selepas dimaklumkan oleh peminat menerusi laman Twitter.
"Pagi ini ada pengguna Twitter memberitahu mengenai akaun YouTube Nabila hilang... mereka tanya kena godam ke sebab dah tak ada. Saya semak emel dan mendapati ada video yang dimuat naik tanpa pengetahuan kami telah diturunkan pihak YouTube kerana terdapat pelanggaran terma dan polisi laman tersebut.
"Emel kedua pula memberitahu saluran YouTube itu sudah ditutup. Kita pun tak tahu apa punca sebenar, sekarang ni team kami sedang usaha mendapatkan semula akaun itu," jelasnya.
Sementara itu, Asrul meluahkan kebimbangan jika akaun Nabila Razali Entertainment itu tidak dikembalikan semula dan ditutup buat selama-lamanya.
Ini kerana akaun YouTube berkenaan merupakan platform yang digunakan Nabila bagi mempromosikan lagu dan kerjaya seninya. Tambahan pula, penyanyi lagu Peluang Kedua itu bakal melancarkan lagu baharu tidak lama lagi.
"Akaun itu kita buat April 2020 semasa lancarkan lagu Peluang Kedua yang sehingga kini menerima lebih 32 juta tontonan. Sayangnya sebab takkan lagu baru akan datang kita nak kena buat channel baru... nak mulakan semula bukan senang, InsyaAllah kita akan usahakan untuk dapatkan semula akaun itu," ujarnya.
________________________
No comments:
Post a Comment