Semua sedia maklum mengenai keadaan semasa pelakon remaja, Mohd Izuan Fitri 19, yang menghidap penyakit tibi atau batuk kering serta kini memerlukan bantuan kewangan. Nampaknya kisah Izuan terus mendapat perhatian apabila kisahnya itu akan disiarkan dalam program Bersamamu di TV3, jam 6.30 petang ini.
Ibunya Norainon Abdul Rani berkata, dia hanya mampu bersyukur apabila keperitan hidup anaknya yang masih sakit dan sudah tidak boleh bekerja mendapat perhatian daripada pelbagai pihak yang sudi menghulur bantuan.
"Saya anggap ini salah satu punca rezeki buat anak saya untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi memenuhi keperluan penjagaannya yang amat memerlukan penjagaan rapi. Keadaan Adik (Izuan) dah tak macam dulu lagi.
"Apabila pihak Bersamamu di TV3 menghubungi saya untuk membawa kisah Adik ke dalam program berkenaan, saya positif saja untuk memberi kerjasama dan tidak berasa malu pun. Bagi saya, keperluan anak perlu diutamakan kerana perbelanjaan pengurusan bulanan untuk kesihatan Adik agak tinggi.
Klik untuk gambar besar
"Saya seorang ibu tunggal dan tidak bekerja. Ada anak-anak lain pun, mereka bekerja biasa saja dan ada tanggungan sendiri. Ditambah, saya pun tidak tahu berapa lama tempoh Adik akan pulih semula dan saya tak pasti berapa banyak kewangan diperlukan untuk Adik sehingga dia sembuh dan sihat kembali," ujarnya.
Menurut Norainon, dia sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama kepada semua pihak demi mendapatkan bantuan pengubatan anaknya itu. Katanya, tiada ibu yang tidak sanggup berkorban demi melihat anaknya yang sakit sembuh semula.
Sejak dibenarkan pulang ke rumah pada 20 September lalu, buat masa ini pelakon filem 'One Two Jaga' dan 'Butak' itu juga perlu dibawa ke Institut Perubatan Respiratori (IPR) setiap hari untuk mengambil suntikan antibiotik.
"Setakat ini, perkembangan ditunjukkan Adik di rumwh sangat baik. Walaupun masih belum berkata-kata dan dia hanya diam saja tapi mudah dijaga. Adik tidak ada kerenah langsung dan kami sekeluarga menjaga dia dengan penuh sabar dan kasih sayang.
"Saya hanya mampu terus berdoa kepada Allah agar Adik sihat semula. Ini kerana, akibat penyakit tibi itu paru-paru Adik sebelah kiri sudah rosak sepenuhnya diserang kuman dan tinggal yang kanan saja sekarang untuk bekerja," katanya lagi.
Menurut Norainon lagi, anak bongsunya itu juga memerlukan anggaran perbelanjaan bulanan sebanyak RM1700 untuk penyediaan keperluan seperti ubat-ubatan, susu, lampin pakai buang, losyen, pelapik lampin pakai buang, tisu basah, termasuk pelitup mulut dan hidung.
________________________
No comments:
Post a Comment