10 September 2021

MUAT NAIK FOTO DUDUK PELAMIN - MIMI LANA NAFI SUDAH DIRISIK



Baru-baru ini, pelakon Mimi Lana telah memuat naik foto dirinya duduk di atas pelamin dengan tangannya dihiasi inai seperti seorang pengantin baharu. Perkongsian Mimi itu bagaimanapun mengundang ribuan komen serta ucapan tahniah daripada rakan selebriti yang menyangka dia sudah dirisik kekasihnya pelakon Syafiq Kyle.

Malah ada juga yang mengakui terkejut dan tidak menyangka dalam diam-diam Mimi sudah melangkah ke fasa baharu kehidupan. Antara rakan artis yang mengucapkan tahniah ialah Scha Alyahya, Nad Zainal, Nabila Huda, Tiz Zaqyah, Hun Haqeem, Eyka Farhana dan Nora Danish.

Bimbang timbul salah faham berhubung perkongsiannya itu, Mimi atau nama sebenar Mimi Rozaiana Zainal Abidin tampil menjelaskan mengenai foto berkenaan. Kata aktres berusia 25 tahun ini, gambar yang dikongsi itu bukanlah majlis perkahwinannya, sebaliknya hanya menghadiri hari bahagia saudara terdekat.

Klik untuk gambar besar



"Assalamualaikum, hai semua. Saya minta maaf berhubung gambar terbaharu, saya hanya meraikan sepupu kesayangan yang bernikah hari ini (Jumaat). Terima kasih semua kerana mendoakan yang baik-baik untuk saya," katanya menerusi ruangan Instastory pada Jumaat.

Dalam pada itu, pelakon filem 'Pusaka' ini berjanji akan berkongsi mengenai hari bahagianya apabila tiba waktu: "Jangan risau, kalau ada berita gembira InsyaAllah pasti saya akan kongsikan dengan semua orang pada masa akan datang. Love you!" ujarnya.

Sebelum ini, hubungan cinta Mimi dan Syafiq pernah dikatakan putus pada Mei tahun lalu selepas lima tahun melayari bahtera cinta. Biarpun tidak menyatakan secara rasmi kembali bercinta, namun menerusi beberapa perkongsian Mimi di Instagram beberapa bulan lalu bagaikan mengesahkan cinta bertaut semula. Bagaimanapun, sehingga kini kedua-duanya masih mengunci mulut dan tidak terbuka bercerita mengenai perhubungan mereka.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: