19 September 2021

NAFI ADIK DITIDURKAN SEBAB DIJANGKITI WABAK - EZAD LAZIM MOHON DOA



"Daripada apa yang dimaklumkan oleh kakak saya, Mohd Rizal sakit dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut bukan kerana jangkitan Covid-19, tetapi dia mempunyai masalah penyakit lain. Mengikut kata doktor yang merawatnya, adik saya ada jangkitan kuman dalam darah dan jantungnya bergerak laju.

"Jadi, untuk rehatkan jantung dan membantu pernafasannya, dia sudah ditidurkan sejak semalam," itulah perjelasan penyanyi Ezad Lazim, 42, mengenai adik bongsunya, Mohd Rizal Mohamad Lazim, 35, yang kini ditidurkan akibat jantung bergerak laju serta jangkitan kuman dalam darah.

Ezad dihubungi berkata adiknya itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk menerima rawatan pada minggu lalu, selepas kurang sihat hampir sebulan akibat demam yang tidak menentu dan ia bukan disebabkan jangkitan Covid-19.

Ezad berkata, dia kini dalam proses menguruskan dokumentasi untuk ke balai polis bagi membuat permohonan rentas negeri, balik ke Kedah bagi mengetahui keadaan sebenar penyakit dihidapi adiknya itu.

"Saya memang risaukan keadaan adik sekarang dan mahu balik ke Kedah untuk tahu keadaan sebenar kesihatannya dan apa penyakit yang dihidapi sehingga menyebabkan dia boleh kritikal seperti ini.

"Pada saya, apabila doktor sudah minta pesakit ditidurkan, ia bermakna serius dan kritikal. Saya jadi tidak sedap hati dan fikir macam-macam, ditambah adik pula belum berkahwin lagi dan tinggal sendiri selepas ayah meninggal dunia pada 2019 dan emak, tahun lalu.

"Selama ini pun, memang adik saya yang menjaga ayah dan emak di kampung sehingga mereka menghembuskan nafas terakhir. Terlalu besar, pengorbanan adik saya dalam keluarga kami dan sekarang dia pula jatuh sakit," ujarnya.

Justeru, Ezad memohon semua untuk membantu mendoakan kesihatan adiknya agar sembuh dan kembali sihat. Katanya, adiknya juga bekerja sebagai kakitangan kebudayaan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Saya nak cakap lebih mengenai penyakit adik sekarang, memang tak boleh dan nak kena balik ke kampung dulu. Saya harap segala urusan untuk merentas negeri dipermudahkan.

"Apapun, untuk Covid-19 adik saya sudah mendapatkan dua dos suntikan vaksin. Apa yang saya harapkan kini, cuma dia sembuh dan sihat semula. Saya mohon, tolong sama-sama mendoakan adik saya," tuturnya.

Terdahulu, pada Julai lalu Ezad dikejarkan ke Hospital Putrajaya selepas diserang penyakit gastrik kronik (GERD). Namun, dia yang sakit berterusan selepas dibenarkan balik ke rumah, dimasukkan pula ke pusat perubatan di Shah Alam untuk menjalani pembedahan akibat penyakit itu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: