19 September 2021

2 BULAN BERKENALAN - ZIZI TAK KISAH TUA 7 TAHUN DENGAN YUSUF



"Kami hanya berkenalan selama dua bulan dan Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Tarikh 29 Ogos lalu kami bertunang secara virtual. Saya senang dengan Yusuf kerana dia lelaki yang sopan dan matang berbanding usianya.

"Yusuf menerima saya seadanya walaupun saya lebih tua daripada dia. Saya tak rasa kekok dan janggal dengan Yusuf biarpun dia lebih muda. Lagipun saya kan suka lelaki yang lebih muda, saya suka 'anak ikan'," seloroh penyanyi Zizi Kirana.

Zizi yang selamat bernikah dengan pelakon Yusuf Bahrin itu mengakui tertarik dan menyenangi sikap suaminya yang sopan santun dan matang. Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 36, berkata, suaminya juga tidak menjadikan perbezaan umur tujuh tahun antara mereka sebagai isu utama.

Menurut Zizi atau nama sebenar Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, 36, sepanjang dua bulan mengenali hati budi masing-masing, Yusuf merupakan satu-satu lelaki yang berjaya melembutkan hatinya sehingga menukar karakter diri.

Klik untuk gambar besar

"Sepanjang saya mengenali lelaki lain, saya berani kata Yusuf satu-satunya lelaki yang berjaya menukar karakter sebenar diri saya. Rasanya semua orang tahu sebelum ini berperwatakan saya agak kasar, orang kata macam gangster... ibaratnya macam harimau tapi sekarang dah jadi kucing.

"Yusuf berjaya melembutkan hati saya untuk teruskan hubungan ini ke alam perkahwinan. Lagipun tak salah bercinta selepas berkahwin kan?" kongsi penyanyi lagu 'Eh' ini.

Berkongsi mengenai perancangan cahaya mata, Yusuf menyerahkan segalanya kepada ketentuan takdir: "Soal anak, kami tak meletakkan sebarang sasaran. Kalau ada rezeki untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat, kami terima. Kami serahkan kepada Allah saja.



"Sejujurnya, saya merancang nak kahwin pada usia 35 tahun apabila sudah ada rumah sendiri dan bisnes. Tetapi ini adalah aturan Allah, hati saya digerakkan untuk berkahwin pada usia sekarang. Kalau ikut karakter pun, saya yang nampak lebih tua berbanding Zizi.

"Jodoh sudah tertulis jadi umur tidak penting. Apa yang penting adalah hati yang ikhlas dan jujur. Saya suka perwatakan Zizi yang sangat bersahaja. Perkara itu membuatkan saya terpikat. Zizi juga seorang yang baik hati dan menghormati orang tua. Cara dia cakap dengan saya pun sangat lembut. Tapi, bila cakap dengan kawan-kawan, caranya macam gangster pula," ujarnya.

Bercakap soal bulan madu, Zizi berkata belum merancang untuk bercuti. Bagaimanapun, mereka merancang untuk menunaikan umrah: "Insya Allah, impian untuk menunaikan ibadah umrah di Makkah apabila sempadan antarabangsa dibuka kelak," tuturnya.











         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: