11 September 2021

NASKHAH ‘HASRAT TERSIRAT’ SARAT KONFLIK



Selepas berakhirnya tayangan drama rantaian ‘Ali Alia’ yang meruntun emosi petang semalam, sebuah lagi naskhah menarik terbitan Mediacorp Suria yang mengangkat tema konflik keluarga berjudul ‘Hasrat Tersirat’ bakal menghiasi slot Tiara.

Ia dihidupkan dengan lakonan mantap barisan bintang handalan dari Singapura seperti Rahimah Yusoff yang membawakan watak Aisyah, Azhar Norlesta sebagai Ramli, Abdullah Ahmad sebagai Hamzah, Fir Rahman sebagai Danial, Farhana M Noor sebagai Farah, Izzat Yusoff sebagai Najib, Fatin Amira sebagai Sharifah, Shaquille Daniel sebagai Amri, Joe Jasmi sebagai Latif, Hashimah Hamidon sebagai Mansurah, Mishall Kiara sebagai Kharissa dan Erwin Shah Ibrahim sebagai Dr Mazlan.

"Sebagai sebuah saluran keluarga yang menghiburkan, kami amat mementingkan kandungan komersial berkualiti dan dinamik yang mampu mencuit emosi segenap lapisan umur kerana maklum balas dan penerimaan audiens akan mempengaruhi kejayaan saluran ini secara langsung.

Klik untuk gambar besar



"Kami melihat naskhah terbaharu taruhan slot Tiara yang sekali lagi mengangkat tentang konflik dalaman keluarga ini dapat menjentik emosi penonton kerana ia sarat dengan mesej yang jelas dan bermanfaat jika dilihat daripada sudut pandang yang positif. Ada banyak perkara yang boleh dijadikan iktibar dan panduan kerana berdepan dengan konflik adalah asam garam kehidupan yang akan mematangkan diri kita.

"Semoga impak penceritaan ‘Hasrat Tersirat’ dapat dirasai oleh peminat drama Melayu sehingga mampu mencetuskan fenomena yang tersendiri. Sama-sama kita saksikan apakah kesudahan drama ini nanti," kata Norzeha Mohd Salleh selaku Pengurus Saluran Astro Prima.



‘Hasrat Tersirat’ memaparkan mengenai setelah kematian ketua keluarga, Hamzah, hingga menyebabkan keluarga berpecah-belah. Aisyah selaku balu terpaksa berdepan dengan masalah menguruskan pembahagian harta pusaka.

Ia telah dituntut oleh anak tirinya iaitu Danial dan Farah, anak autistiknya, Amri, serta seseorang dari masa silamnya. Aisyah harus melawan semua itu bersendirian serta dalam masa yang sama cuba memelihara nama baik arwah suaminya.

Drama ini ditayangkan di saluran Astro Prima (105) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang atau boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: