03 September 2021

NETIZEN PERSOAL BERSALIN DI HOSPITAL SWASTA - INI JAWAB ISTERI AMAN GRASEKA



"Sanggup eh meminta simpati orang demi nak bersalin swasta, tak faham aku pemikiran orang-orang begini," demikianlah ujar salah seorang netizen yang tampil mempersoal tindakan pelakon Aman Graseka membawa isterinya bersalin di sebuah hospital swasta di Sungai Petani, Kedah pada Rabu lalu.

Kata netizen berkenaan, tindakan tersebut tidak selari dengan kenyataan pelakon itu sebelum ini yang mendakwa berada dalam kesempitan hidup akibat Covid-19.

Tampil menjelaskan hal itu, isteri pelakon berkenaan, Nurul Amrina Zamri, 32, atau lebih mesra disapa Reena berkata, kos untuk dia bersalin di pusat perubatan itu ditanggung seorang seorang pelakon wanita yang enggan namanya didedahkan.

"Pelakon yang menaja kos kelahiran itu yang cadangkan saya melahirkan bayi di hospital berkenaan. Kalau ikutkan saya dengan abang tak kisah pun untuk bersalin di hospital kerajaan.

Klik untuk gambar besar



"Lagi pula sekarang kes Covid-19 tinggi di Kedah, jadi kita cuba elakkan daripada terdedah kepada jangkitan. Dalam masa sama, kita pun cuba bantu kurangkan beban hospital kerajaan yang perlu fokus kepada pesakit Covid-19.

"Saya ikut sahaja sebab ini permintaan pelakon itu, sebenarnya tak ada beza pun bersalin di mana sekali pun kerana sakitnya tetap sama," jelas Reena yang selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.1 kilogram secara normal pada pukul 3.54 petang, Rabu lalu.

Terdahulu, segelintir netizen mempersoalkan kewajaran pelakon itu membawa isterinya bersalin di hospital swasta yang sememangnya memerlukan kos yang tinggi. Pada 29 Julai lalu, Aman, 53, pernah menyuarakan rasa kesal kerana masih belum menerima bayaran tunggakan lakonannya sejak empat tahun lalu.



Menurut Aman, sudah dua tahun dia hilang punca pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19 yang menyekat peluangnya untuk berlakon. Dia ketika itu buntu untuk mendapatkan wang apabila isterinya dijangka melahirkan anak kedua mereka.

Sementara itu, ditanya siapakah aktres yang bermurah hati berkenaan, Reena berkata sehingga kini suaminya tidak mendedahkan mengenai identiti pelakon wanita tersebut.

"Semua hal bersalin abang yang uruskan... sejujurnya saya pun tak tahu siapa pelakon yang bayarkan kos bersalin itu. Abang kunci mulut tentang hal ini, mungkin dia takut jika saya tahu mungkin saya terlepas cakap dekat orang lain... saya tanya banyak kali pun dia tak mahu beritahu.


"Sampai sekarang saya tak kenal siapa pelakon tu. Apa-apa pun saya bersyukur sangat-sangat ada yang sudi menaja kos bersalin ini. Semoga individu itu dimurahkan rezeki," tuturnya.

Berkongsi mengenai proses kelahiran kedua ini, Reena bersyukur ia berjalan lancar dan dipermudahkan: "Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Sama saja macam kelahiran anak pertama dulu, cuma kali ini kontraksi tak terlalu lama, sejam sahaja dalam bilik bersalin, baby dah keluar.

"Saya berpantang di rumah sendiri tapi emak datang bantu urus... Alhamdulillah bayi semua sihat cuma abang la letih sikit kerana dia yang mengambil tugas uruskan anak pertama," katanya.

Untuk makluman, Aman berkahwin dengan Reena yang juga merupakan model dan pelakon pada tahun 2018. Pasangan ini turut mempunyai seorang anak lelaki, Aishymir Mateen yang kini berusia dua tahun.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: