27 September 2021

PENERBIT BUAT LAPORAN POLIS TERIMA UGUTAN BUNUH 4 KALI DARIPADA PENGARAH FILEM



Penerbit Izwan Ibrahim, 39, memberitahu dia telah mendapat ugutan bunuh lebih empat kali daripada seorang pengarah filem. Dek kerana itu, Izwan telah membuat laporan polis di Balai Polis Puchong, Selangor, baru-baru ini. Menurut Izwan, laporan itu dibuat kerana dia tidak mahu perkara sama berlaku terhadap pekerja lain yang berkhidmat dengan pengarah filem terbabit.

"Dalam kejadian terbaru, dia mengugut boleh hantar orang untuk membunuh saya serta anak saya. Apabila membabitkan keluarga, saya rasa tindakannya itu sudah cukup membahayakan. Saya sepatutnya mengikat kontrak tiga bulan untuk bekerja dengannya.

"Dalam tempoh itu, bukan sekali tapi empat hingga lima kali juga dia ulang mengugut ancaman yang sama. Dia memiliki sifat cukup panas baran dan suka cakap kasar termasuk yang baru pertama kali dia jumpa. Apalagi terhadap pekerjanya, lagi teruk dan saya berharap tindakan ini dapat membela nasib pekerja lain di bawahnya," katanya.

Berkongsi lanjut, Irwan mendedahkan dia mengenali pengarah itu sebagai seorang yang cukup berkaliber. Bahkan, dia menganggapnya sebagai kenalan yang agak rapat. Justeru, dia bersetuju untuk bekerja dengannya apabila ditawarkan kontrak itu dari Julai hingga September ini.

"Saya sudah mengenalinya sebelum ini dan pernah lepak bersama. Jadi, saya meletakkan kepercayaan bekerja dengannya kerana menganggap dia sebagai rakan baik. Tapi, ternyata berlaku sebaliknya kerana persekitaran kerja dengannya cukup menekan. Bahkan, kami terpaksa bekerja lebih masa sehingga tengah malam atau hujung minggu atas arahannya.

"Bukan setakat tugas kerja wajib tapi termasuk tugasan kepentingan peribadinya. Selain sentiasa cakap kesat, dia juga sentiasa mencari alasan untuk melepaskan kemarahannya," jelasnya.

Menurut Izwan, banyak lagi alasan lain menyebabkan dia ambil keputusan membuat laporan polis. Bagaimanapun, dia cuma berharap pengarah filem terbabit tidak mengulangi kesilapannya itu.

"Kalau cakap pasal gaji, saya belum dapat lagi daripadanya. Tapi saya terpaksa juga mengundur diri kerana bermacam isu bekerja dengannya termasuk ugutan bunuh itu. Saya percaya, tindakan ini akan membuka ruang kepada yang lain pernah mengalaminya untuk turut bersuara. Sikapnya yang agak keterlaluan dan berbahaya itu perlu dihentikan," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: