09 September 2021

SETELAH LAMA DITUNDA - 'ALL TOGETHER NOW MALAYSIA' KEMBALI BERSIARAN



"Alhamdulillah, kini semuanya sudah selesai dan kami ingin merakamkan jutaan terima kasih atas kerjasama diberikan semua pihak terbabit. Justeru, keutamaan kami adalah untuk bergerak ke hadapan demi memastikan variasi kandungan terbaik dapat terus disajikan khusus buat pelanggan kami," itulah kata Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad yang bersyukur apabila program nyanyian All Together Now Malaysia (ATNMY) dapat disambung siaran selepas lama dinantikan ramai.

Pada Jun lalu, All Together Now Malaysia terpaksa ditunda selepas siarannya mencetus kontroversi. Kecoh di media sosial bahawa program itu didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) sehingga Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan siasatan dilakukan ke atas penerbitan rancangan berkenaan susulan dakwaan pelanggaran SOP.

Terkini, All Together Now Malaysia akan kembali bersiaran bermula Sabtu ini, jam 10 malam menerusi episod istimewa. Selain itu, konsert mingguan pula akan dimulakan Ahad ini, jam 9 malam yang bersiaran selama 10 minggu.

Menurutnya, pada episod istimewa Sabtu ini, All Together Now Malaysia bakal mengumpulkan penyanyi hebat untuk menghiburkan penonton kelak.

Klik untuk gambar besar



"Episod itu akan menampilkan bintang-bintang kelahiran program popular terbitan Astro seperti Akademi Fantasia, Big Stage, Maharaja Lawak Superstar, The Masked Singer Malaysia, Gegar Vaganza, Ceria Popstar, Kilauan Emas, Golden Melodies dan sebagainya," ujarnya.

All Together Now Malaysia adalah pertandingan nyanyian adaptasi format program United Kingdom iaitu All Together Now terbitan BBC One. Malaysia negara ke-17 dan yang pertama di Asia Tenggara tampil dengan versi tempatan.

Program itu dihoskan Sherry Al Hadad selaku pengacara utama. Di Sebalik All Together Now Malaysia pula dikendalikan Dewi Remaja 2019, Shaza Bae dan Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar.


Pengacara Aswad Jalil dan personaliti media sosial Norreen Iman pula bergandinga sebagai hos All Together Now Malaysia Live Plus. Ia ditayangkan secara serentak dengan konsert mingguan di platform digital.

Seramai 50 juri merangkumi penyanyi, pelakon, pelawak, penyampai radio, pengacara dan personaliti media sosial dilantik mengadili program itu. Mereka diketuai Datuk AC Mizal selaku Kapten Juri.

Nasib peserta akan diadili berdasarkan sistem penjurian kalah mati. Dua peserta dengan markah tertinggi setiap episod akan mara ke peringkat akhir untuk merebut gelaran juara dan hadiah wang tunai RM50,000 beserta trofi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: