09 September 2021

ALI XPDC AKUI KINI GOLONGAN ASNAF - SUDAH LEBIH SETAHUN TIDAK BEKERJA



Penyanyi, Ali XPDC yang sudah lebih setahun tidak bekerja dan tiada sebarang pendapatan itu mengakui dia kini adalah golongan asnaf. Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 53, berkata, dia kini menerima bantuan sebanyak RM600 dari Lembaga Zakat Selangor (LZS).

"Syukurlah LZS banyak membantu saya dan keluarga untuk meneruskan hidup kami. Terima kasih banyak-banyak," katanya yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, kerana mengalami masalah semput dan lemah jantung sejak 2 September lalu.

Ali berkata, dia juga bersyukur kerana kos rawatan di PPUM itu turut ditanggung pihak LZS. Ali mengakui sejak penularan Covid-19 dan sukar untuk bekerja, dia membuang rasa malu untuk meminta bantuan termasuk menerusi laman sosial kerana memang amat terdesak.

"Kalau nak harapkan saya memang tak ada duit nak membayarnya. Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak LZS, individu dan peminat yang banyak menghulurkan bantuan kepada saya," ujarnya yang mempunyai lima anak yang masih belajar.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Ali juga gagal menjalani pemeriksaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) di PPUM semalam kerana mengalami kesukaran bernafas: "Proses itu separuh jalan saja. MRI semalam saya tak lepas. Sekejap sangat. Saya tak tahan bernafas kat dalam itu.

"Jadi saya kenalah buat temujanji semula dengan doktor selepas ini pada masa lain. Apapun, alhamdulillah saya dah boleh balik petang ini dan berehat di rumah," jelasnya.

Ali mula mengalami masalah semput sejak hujung Ogos lalu. Dia kemudian membuat pemeriksaan di PPUM sebelum ditahan di wad untuk rawatan lanjut pada 2 September lalu.


Malam tadi, satu majlis bacaan Yassin dianjurkan golongan rockers era 1990-an yang dipimpin Ustaz Zulkefli Hamat bagi mendoakan kesembuhan Ali.

"Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat saya dengan bacaan Yassin semalam. Pagi ini saya rasa lapang sangat kerana berkat doa semua," tuturnya.

Pada 26 Mac tahun lalu, Ali pernah melecur 30 peratus di tangan dan muka selepas disambar api ketika membakar sampah di rumahnya. Penderitaannya mendapat perhatian ramai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Dr Daroyah Alwi yang hadir menyerahkan bantuan bagi meringankan bebannya.

Daroyah turut membantu Ali mendapatkan bantuan dari LZS bagi menampung perbelanjaan mendapatkan rawatan selain kehilangan pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: