17 September 2021

SHERIE MERLIS TIDAK SANGKA ADA BERTELINGKAH MENGENAINYA



"Alhamdulillah, saya pun sudah pulang ke rumah sendiri. Kesihatan adik serta keluarganya pun sudah semakin bertambah baik. Apabila penggambaran sudah dibenarkan, saya pun sudah kembali bekerja. Namun, jika ada waktu senggang, saya tetap akan pulang ke rumah keluarga untuk membantu.

"Syukur juga sekarang ada pembantu perubatan memantau ibu yang terlantar. Secara keseluruhannya, keadaan kami sekeluarga sangat okay sekarang," kata pelakon Sherie Merlis, 49, yang memaklumkan keadaan seisi rumah dan keluarganya semakin baik selepas berdepan kesukaran yang menimpa mereka baru-baru ini.

Pelakon drama 'i-Tanggang - Mother of All Lies' itu juga bersyukur kerana dia sudah ada kelapangan kembali menjayakan penggambaran tanpa perlu terlalu bimbang terhadap ibunya yang menghidap Alzheimer.

Sherie turut terkejut dengan perdebatan netizen di media sosial selepas kisahnya memohon bantuan maklumat membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini. Katanya, dia tidak terasa dengan komen-komen diterima sebaliknya tidak sangka ia menyebabkan sampai ada bertelingkah mengenainya.

"Jujur, saya memang tak cukup tangan bab uruskan rumah sehingga tiada masa nak belek telefon bimbit pantau media sosial. Jadi, apabila saya terluang membacanya, agak terkejut juga.

"Dalam kes itu, saya tidak pernah menuding jari terhadap sesiapa apatah lagi menyalahkan KKM. Cumanya, saya terdesak suarakan kerisauan itu menerusi media sosial apabila buntu nak minta bantuan pada siapa.

"Ada komen kata mereka okay saja terperangkap dalam rumah tanpa perlu 'melalak' minta tolong. Tapi bagi saya, hal itu tidak okay kerana dalam situasi mengancam kesihatan sebegitu, penerangan yang tepat mampu selamatkan nyawa kita," katanya.

Terdahulu, Sherie merayu kepada pengikutnya di Instagram selepas buntu untuk mendapatkan pusat kuarantin buat adik perempuannya yang positif Covid-19 pada Ogos lalu.

Dia mendedahkan sangat bimbang keselamatan ahli keluarga terutama ibu bapanya serta enam kanak-kanak yang berada di dalam rumah itu yang tidak sesuai untuk dijadikan tempat kuarantin. Bagaimanapun, kurang 24 jam selepas video itu tular, adik perempuan Sherie serta suami dan anak mereka dibawa ke pusat kuarantin oleh KKM.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: