"Saya fikir ini sebahagian dari kesan radioterapi yang lepas... sebab itu saya bertahan. Saya ingatkan akan sembuh, tapi semakin sakit. Lagi satu saya tangguh ke hospital sebab saya tak nak lepaskan sambutan ulang tahun kelahiran anak perempuan saya yang ke-10 tahun.
"Jadi saya kuatkan juga diri untuk raikan walaupun secara kecil-kecilan," itulah kata penyanyi Elyana yang akhirnya menyerah diri ke sebuah pusat perubatan bagi mendapatkan rawatan, selepas sebulan menahan kesakitan sehingga tidak dapat tidur.
Elyana yang menghidap kanser limfoma tahap empat sejak 10 tahun lalu berkata, dia enggan ke hospital kerana menyangka kesakitan itu hanya kesan daripada rawatan radioterapi yang dilakukan baru-baru ini.
Malah, Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal, 34, mengakui, dia tidak mahu terlepas sambutan ulang tahun anaknya yang ke-10 yang disambut secara kecil-kecilan pada 27 Ogos lalu. Elyana sanggup menahan sakit demi meraikan ulang tahun kelahiran cahaya pertamanya, Cinta Sumayyah.
Klik untuk gambar besar
Terdahulu, Elyana menerusi posting di Instagram memberitahu dia telah dimasukkan ke hospital selepas lebih sebulan menahan kesakitan.
"Lebih sebulan menahan sakit sampai tak tidur. Akhirnya saya mengalah. Hari ni masuk painkiller,steroid dan ambil darah. Covid test memang wajib. Esok check jantung. Lusa buat Pet Scan. Seterus nya Chemotherapy. Bismillahirrahmannirrahim. You can do it Nana!!!" tulis Elyana.
Selain itu juga, Elyana berkata, dia memendam rasa sakit selama sebulan kerana enggan membebankan ibu bapanya yang dijangkiti Covid-19.
"Sepanjang tempoh sebulan tahan sakit hanya suami saya yang tahu. Saya pun tak nak bebankan orang lain terutamanya ibu bapa saya, sebab mak dan adik lelaki saya pun dijangkiti Covid-19 hari tu.
"Saya sempat juga la ulang alik hantar makanan dan keperluan untuk mereka walaupun tidak seberapa. Alhamdulillah mereka sudah sembuh sekarang. Biar saya sakit... jangan orang-orang yang saya sayang sakit sebab nanti lagi saya susah hati," jelasnya.
Tambah Elyana, walaupun telah menjalani lebih 20 kali kemoterapi dan 35 kali rawatan radioterapi sepanjang 10 tahun melawan kanser, dia berharap sentiasa diberikan kekuatan untuk berjuang melawan penyakit itu.
"Harapan saya kalau boleh nak sembuh sepenuhnya... tapi kalau tak sembuh pun, harap sangat sel kanser ni tidak membiak. Saya pun harap sangat saya dikurniakan tenaga yang luar biasa untuk meneruskan kehidupan saya serta dipanjangkan umur. Alhamdulillah... kekuatan ini saya dapat daripada doa-doa ibu bapa, keluarga dan semua orang," ujarnya.
Untuk makluman, Elyana menghidap kanser limfoma tahap empat sejak 10 tahun lalu dan membuat pendedahan mengenai penyakitnya ketika siaran langsung konsert Gegar Vaganza musim keempat pada tahun 2017.
Penyanyi lagu 'Kalis Rindu' itu mendirikan rumahtangga dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Cinta Sumayyah, 10, dan memiliki anak angkat, Cahaya Ramadhani yang berusia dua tahun.
________________________
No comments:
Post a Comment