22 September 2021

WAN BESI TERIMA RM20,000 BAWA SAJAT LOLOS



"Sebaik tiba di Padang Besar, Wan Besi dengan bantuan konconya menyeludup Nur Sajat ke dalam gerabak kereta api sebelum melepasi sempadan negara. Wan Besi ini kita percaya mempunyai dua kerakyatan dan dialah yang membawa Nur Sajat ke kondominium mewah di Bangkok," kata sumber yang memberitahu hasil siasatan baharu dilakukan pihak berkuasa mendapati Wan Besi adalah dalang atau watak utama pembolosan usahawan kosmetik, Sajat dari Malaysia ke Thailand.

Pengkhianat negara. Itu gelaran layak diberikan kepada lelaki dikenali sebagai Wan Besi yang bertanggungjawab menyusun penyeludupan keluar Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman dari Padang Besar, Perlis hingga ke Bangkok, Thailand.

Memperincikan maklumat terkini hasil siasatan itu, sumber memaklumkan, terdapat individu tertentu iaitu seorang lelaki yang juga berkaitan dengan Wan Besi membawa Sajat dengan menaiki kenderaan memulakan perjalanan dari banglonya di Petaling Jaya pada minggu pertama Mac lalu.

Ditanya kos perbelanjaan sebenar untuk membawa keluar Sajat dari Malaysia, sumber itu memaklumkan, RM20,000 dikenakan Wan Besi kepada usahawan kosmetik itu untuk membawanya keluar dari Padang Besar, Perlis hinggalah ke Bangkok.

"Wang ini dibahagikan Wan Besi dengan pihak tertentu di kawasan Padang Besar yang bersubahat dengannya," katanya yang mendedahkan maklumat terkini siasatan dilakukan pihak berkuasa bagaimana Nur Sajat boleh lolos dengan mudah ke negara gajah putih itu.

Klik untuk gambar besar



Menurutnya, pihaknya juga percaya ada bayaran lain yang dikenakan kumpulan itu untuk membawa Sajat dari Lembah Klang ke Padang Besar, Perlis dan siasatan sedang dilakukan mengenainya.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, Wan Besi sememangnya aktif dalam kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand terutama di Padang Besar, Perlis dan menjadikan laluan utama penyeludupan keluarnya adalah di kawasan KTMB.

Katanya, Wan Besi pernah ditahan tiga kali oleh polis membabitkan kes penyeludupan ketum dan terbaharu kes tembakan di sempadan yang menyebabkan kematian anggota Pasukan Gerakan Am.

"Laluan pagar KTMB juga sering menjadi laluan utama rakyat Thailand membolosi sempadan negara. Selain itu, kita juga percaya ada aktivis tertentu yang membantu menasihati Nur Sajat untuk memohon kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan berpindah ke Australia.

"Aktivis ini memberi nasihat berkaitan human right dan prosedur berhijrah ke Australia dengan alasan Nur Sajat menerima banyak ugutan bunuh dan lain-lain ugutan di Malaysia," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: