16 September 2021

TAK MINTA WANG HANTARAN - PERSONALITI TV3, AZARIA TAGAYA SELAMAT BERNIKAH



Tanggal 15 September, personaliti TV3, Azaria Tagaya telah selamat disatukan dengan jejaka kacukan Pakistan-Cina yang merupakan jurumekap kesan khas untuk filem, Reza Syafiq Zainal Rashid sebagai suami isteri.

Berkongsi detik perkenalan, Azaria atau nama sebenar Azaria Tagaya Norio Tagaya, 36, memberitahu mereka mula serius mengenali hati budi masing-masing pada Mac lalu. Perkenalan singkat mereka akhirnya berakhir di jenjang pelamin.

"Sebenarnya dah berkawan di Instagram beberapa tahun lalu tapi tak pernah bertegur sehinggalah dia memberanikan diri kata nak berkenalan dengan saya, sejak itu kami berkawan dan wujud keserasian itu.

"Tak lama kemudian dia minta nak jumpa ibu bapa saya... Alhamdulillah keluarga kami merestui dan setuju kami berkahwin segera demi menjaga nama baik keluarga, kami fikir eloklah majlis ini dipercepatkan.

Klik untuk gambar besar



"Perjalanan hubungan kami ini sangat dipermudahkan. Saya pun tak ada rasa ragu-ragu memilih dia sebagai suami. Inilah dinamakan jodoh! Syukur semuanya berjalan lancar," katanya.

Pasangan ini selamat bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, Selangor kira-kira pukul 12 tengah hari, Rabu. Pembaca berita dan pengacara program Money Matters ini menerima mas kahwin sebanyak RM300 serta sebentuk cincin tanpa wang hantaran.

Dalam majlis yang diadakan mengikut prosedur operasi standard itu, Azaria mengenakan kebaya labuh berwarna putih yang dijahit sendiri oleh ibunya dan hanya memakai kasut sniker jenama Converse.



"Alhamdulillah... dengan sekali lafaz saya sah bergelar isteri Reza, buat masa ini kami tiada perancangan nak buat majlis resepsi, cukuplah nikah dan laksanakan apa yang wajib sahaja.

"Memang dari dahulu saya impikan perkahwinan yang simple, tak suka majlis besar sebab rasa membazir... lebih baik duit tu disimpan untuk masa depan kami selepas berkahwin," ujarnya.

Ditanya mengenai cahaya mata, Azaria berkata dia dan suami tiada perancangan mengenai zuriat: "Tiada perancangan lagi untuk anak. Itu semua rezeki Allah SWT. Kalau ditakdirkan dalam masa terdekat kita terima sahaja," jelasnya.






         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: