03 September 2021

TERTEKAN KELUARGA DIHERET KONTROVERSI - ALIFF AZIZ BERSYUKUR ALLAH BUKA HATI BERTAUBAT



"Pada awalnya, rasa agak teruk kerana ia melibatkan keluarga. Bagi saya, ia langkah pembelajaran. Dalam bidang hiburan, memang dipantau netizen dan bukan semua netizen begitu. Perlahan-lahan dengan masa yang bergerak, saya fikir walau macam mana pun kita jadi terbaik pasti akan ada orang yang tetap tak suka dan pandang serong.

"Tiada orang yang sempurna. Kalau kita rasa kita di landasan untuk jadi orang sempurna, itu mustahil. Sebenarnya saya yakin semua perkara hanya dengan kehendak Allah. Saya tiada kelebihan, saya hanya hamba yang lemah nak guna kehidupan yang Allah bagi untuk ikut yang saya nak.

"Selama 30 tahun hidup, macam-macam yang kita buat. Alhamdulillah, Allah maha mengetahui dan saya tidak tahu apa kebaikan yang saya pernah buat dan Allah bagi jalan. Saya yakin semuanya dalam pengetahuan Allah. Saya tengok video Faizal Ismail dan rasa mahu kenal Jemaah tabligh. Ada jemaah hubungi saya dan terangkan pada saya serta bawa keluar untuk tiga hari.

Klik untuk gambar besar



"Saya dapat rasa pelbagai perasaan yang tak dapat saya terangkan. Suasana dan orang di sana yang tiada 'udgement', semua sama tidak kira keturunan, pangkat dan darjat," kata penyanyi dan pelakon Aliff Aziz yang mengakui tertekan apabila keluarganya turut menjadi mangsa keadaan apabila dia pernah dikecam teruk selepas terpalit pelbagai kontroversi.

Menganggap ia salah satu proses pembelajaran, Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Aliff Aziz berkata, dia kini mengambil segala tohmahan terhadapnya itu secara positif. Malah, pelakon berusia 30 tahun ini juga menganggap tiada manusia yang sempurna dan pasti akan ada yang membenci biarpun sudah melakukan yang terbaik.


Suami kepada penyanyi dan pelakon Bella Astillah itu berkongsi mengenai perkara tersebut ketika sesi siaran langsung di laman sosial Nurflix yang membahaskan topik Negara Sudah Merdeka, Kita Bila Lagi? Pada Ogos lalu, Aliff melahirkan rasa syukur apabila ditunjukkan jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah selepas dia mendekati jemaah tabligh.

Berkongsi mengenai penyertaan dalam jemaah tabligh, penyanyi kelahiran Singapura itu menganggap dia hanya menjalani kehidupan yang Allah aturkan kepadanya. Sebelum ini Aliff pernah mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya kes curang, mabuk, berkelakuan tidak senonoh di tempat awam serta mencuri.

Untuk makluman, Aliff berkahwin dengan Bella pada 9 September 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata Muhammad Ayden Adrian, 3, serta Ara Adreanna yang kini berusia setahun.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: