22 October 2021

AISAR KHALED SEDIA BAIKI DIRI, ENGGAN DICAP 'KEBAL KONTROVERSI'



Nama YouTuber dan personaliti media sosial Aisar Khaled sebelum ini hangat diperkatakan selepas membuat kandungan media melibatkan pemergian penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin dengan memuat naik satu hantaran video melawat pusara isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu.

Aisar yang juga seorang pelakon itu dikecam hebat selepas mencipta kandungan di saluran YouTube yang jelas disifatkan sebagai tidak sensitif dan mengundang kemarahan orang ramai.

Lelaki kacukan Melayu-Jordan itu mengakui kesalahan yang dilakukan dan dalam pada itu dia memberitahu bahawa dia tiada sebarang niat untuk menyinggung hati mana-mana pihak.

"Saya tahu khilaf saya. Saya tahu saya berlebihan dalam membuat kandungan. Kadang-kadang diri ini alpa sebab saya juga manusia biasa. Saya terbuka menerima sebarang teguran, kecaman mahupun sokongan membina," katanya.

Tambah Aisar lagi, dia tidak mahu dicap sebagai selebriti yang kebal kontroversi kerana apa yang berlaku tidak dirancang dan bagi beliau juga, perkara-perkara negatif seperti cacian serta makian tidak dapat dielak jika seseorang itu sudah bergelar selebriti.

Klik untuk gambar besar



Pada masa yang sama, lelaki berketinggian 190 cm juga mengakui masih mentah dalam dunia seni tetapi turut bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk berlakon.

Sementara itu, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata dia akan terus memperbaiki diri demi menjadi manusia yang lebih baik. Sama seperti selebriti lain yang sudah mula perlahan-lahan berhijrah dengan mendekatkan diri melakukan perubahan, Aisar juga sedang mencari reda Allah.

Tegasnya, dia bukan terikut-ikut atau sengaja menjadi baik, namun perkara tersebut dilakukannya dengan rela hati dalam usaha menjadi Muslim terbaik.

"Kalau cakap bab hijrah, perubahan yang dilakukan saya bukannya sebab nak jadi ustaz atau alim ulama sekali gus meninggalkan dunia glamor. Tapi cuba saya belajar dan bertatih perlahan-lahan dengan mendekatkan diri ke jalan Allah. Bermula dengan menyertai jemaah tabligh dan majlis-majlis ilmu.

"Mungkin Allah jentik hati saya lebih awal pada usia muda. Tak kisahlah apa orang nak kata pasal perubahan ini, biar saya dan Dia saja yang tahu. Apa pun saya masih belajar dan perlukan bimbingan serta doa semua," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: