14 October 2021

BERGANTUNG SATU BUAH PINGGANG - 2 DISEMBER INI, ANAK SHAHROL BAKAL DIBEDAH KALI KEDUA



Selamat menjalani pembedahan buah pinggang pada 1 Oktober lalu, anak pelawak Shahrol Shiro, Ismail Rifqi yang berusia 10 bulan itu dikhabarkan bakal melakukan pembedahan kali kedua pula pada 2 Disember ini.

Isteri Shahrol, Nor Farhanah Shamimi atau Anna berkata, pembedahan kali kedua berkenaan membabitkan tiga prosedur iaitu untuk mengeluarkan saluran dipasang dari buah pinggang ke pundi kencing, merawat penyakit hernia (angin pasang) dan mengkhatankan Ismail.

"Alhamdulillah, pembedahan dua minggu lalu berjaya. Semalam, ketika kami bawa Ismail buat pemeriksaan bersama doktor, luka bedahnya juga semakin kering. Alhamdulillah, dia makin sihat dan aktif. Namun, saya perlu menjaga pemakanannya terutama elakkan garam," katanya.

Anna berkata, pembedahan kedua itu juga sesuai dilakukan ketika Ismail sudah berusia setahun kerana kadar kesembuhannya dijangka lebih tinggi. Katanya, Ismail juga bergantung dengan satu buah pinggang saja dan perlu penjagaan rapi.

Klik untuk gambar besar



"Sebagai ibu, saya mulanya tidak kuat juga menghadapi dugaan ini. Maklumlah, anak yang sakit. Namun, ketika Ismail dirawat selama seminggu di sebuah hospital kerajaan di Johor, cukup menyuntik semangat saya untuk kuat dan reda.

"Di hospital itu, saya lihat ada ramai bayi dan kanak-kanak yang sakit lebih teruk daripada anak saya. Namun, ibu-ibu yang menjaga anak mereka sabar dan tenang. Dari situ, saya fikir ada orang yang lebih besar dugaannya daripada kami sekeluarga," ujarnya.

Ditanya mengenai pemeriksaan Ismail, Anna berkata, anaknya perlu berjumpa doktor seumur hidup untuk memastikan buah pinggangnya sentiasa berada dalam keadaan baik.


Terdahulu, Anna memaklumkan Ismail perlu dibedah segera di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, Selangor pada 1 Oktober lalu kerana buah pinggang sebelah kiri bengkak akibat salurannya tersumbat kira-kira 80 peratus.

Sebelum itu, pada 9 September lalu, Anna meluahkan rasa luluh hatinya di Instagram apabila terpaksa melihat bayinya yang masih kecil menderita sakit buah pinggang kronik selain buah pinggang sebelah kanan pula didapati tiada.

Untuk makluman, Anna dan Shahrol bernikah pada 18 Mac 2016 dan dikurniakan anak sulung lelaki, Iskandar Rizqi, 4. Selain itu, Shahrol juga mempunyai seorang anak lelaki, Muhd Adam Danish daripada perkahwinan pertamanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: