10 October 2021

EMOSI SEMAKIN BAIK - AZMI SAAT BERI PERHATIAN KEPERLUAN ISTERI KETIKA BERPANTANG



"Perkara seperti ini (diuji pemergian anak) bukanlah suatu fasa yang mudah hendak diharungi. Tetapi, syukur, hari demi hari, isteri nampak okay. Emosinya semakin baik dan Allah mempermudahkan urusan isteri saya," kata vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat yang memaklumkan emosi isterinya kini semakin stabil.

Pemergian anak sulung, Allahyarham Khairul Afnan ke Rahmatullah selepas tiga hari dilahirkan iaitu 30 September lalu, bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi pasangan ini.

Mahu atau tidak, Azmi dan Nazirah masing-masing akur dengan ketentuan Ilahi apabila penantian 10 tahun mendapatkan cahaya mata sulung menjadi nyata, namun, putera tersayang dipinjamkan kepada mereka selama tiga hari sahaja.

Azmi yang sebelum ini memberitahu emosi isteri terjejas sehingga mengigau ketika tidur itu reda dengan ketentuan Ilahi dan dia cuba kuat demi isterinya.

"Saya reda dengan anak kami yang dipinjam seketika di dunia ini. Saya kena kuat untuk isteri dan meneruskan kehidupan mendatang. Apa yang saya khuatir adalah kesihatan isteri yang mudah terganggu apatah lagi dia masih berpantang," ujarnya.

Klik untuk gambar besar



Azmi atau nama penuh, Khairul Azmi Saat berkata, sebagai suami dan ketua keluarga, dia enggan terus bersedih dengan ujian itu. Malah, Azmi mula bekerja untuk meneruskan survival pada era pandemik COVID-19.

"Saya cuba lapangkan waktu malam untuk memberi tumpuan kepada isteri yang sedang berpantang. Jadi, pada sebelah siang, saya bekerja. Walaupun emak saya membantu kami, namun, saya tidak mahu lepaskan tanggungjawab begitu sahaja," jelasnya.

Tambah Azmi, dia dan isteri tidak putus asa mendapatkan zuriat pada masa depan: "Kami akan berikhtiar mendapatkan anak... Moga dipermudahkan keinginan kami itu," tutur Azmi yang mendirikan rumah tangga dengan Nazirah yang juga cacat penglihatan, pada 2011.

Sementara itu, Azmi mengaku terfikir mencipta sebuah lagu demi mengabadikan kisah penantian dan perjalanan dirinya dan Nazirah menanti cahaya mata: "Namun, penantian dan kebahagiaan itu hanya sementara dan berakhir dengan kesedihan," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: