08 October 2021

FAZLI ZAINAL SUDAH DUA DOS



Pada Selasa lalu, penyanyi Fazli Zainal, 43, yang juga bekas pesakit Covid-19 meluahkan rasa lega dan syukur apabila sudah melengkapkan dua dos vaksin jenis Pfizer di Hospital Ampang, sebagai ikhtiar untuk perlindungan diri selain terus berdoa kepada Allah untuk kesembuhan kesihatannya semula.

"Saya dapat suntikan dos pertama vaksin Pfizer pada 19 September lalu, manakala suntikan dos kedua Selasa, lalu. Alhamdulillah, segala urusan berkaitan suntikan vaksin saya diatur oleh doktor di Hospital Ampang.

"Saya ikut saja kata doktor kerana mereka lebih pakar dan faham mengenai situasi wabak ini. Sekarang pun saya dalam proses pemulihan kerana paru-paru rosak sebanyak 75 peratus akibat Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Fazli berkata, doktor memaklumkan paru-parunya yang rosak itu memerlukan tempoh sekitar 24 minggu untuk pulih dan sekarang baru lima minggu. Katanya, dia juga menjaga pemakanan dan mengamalkan pengambilan minyak zaitun, air zam zam, madu, barli dan habatus sauda.

Klik untuk gambar besar



Tambah Fazli, dia juga mengalami demam dan sakit sendi selepas menerima dos kedua, namun kini beransur pulih. Katanya, paling penting dia kini sudah lengkap dua dos vaksin dan mahu bekerja kembali selepas ini.

Dalam pada itu, Fazli masih mengalami kesan sampingan akibat Covid-19 apabila pernafasannya masih terganggu. Katanya, dia masih tidak boleh menyanyi dalam nada tinggi kerana banyak luka di paru-paru yang belum sembuh.

Terdahulu, Fazli dirawat selama 29 hari di Hospital Ampang mulai 31 Julai lalu kerana tahap oksigen dalam badannya turun sehingga 75 peratus akibat Covid-19.

Fazli dibenarkan pulang ke rumah pada 28 Ogos lalu dan dia juga sudah melancarkan single terbaharu berjudul 'Mantan Yang Terluka' ciptaan Ajai dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya, baru-baru ini.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: