"Saya tahu niat mereka baik. Mungkin sekadar ingin berkongsi mengenai ahli keluarga atau rakan yang tidak mampu bertahan ketika menjalani rawatan kimoterapi. Tetapi dalam keadaan saya sekarang, tindakan itu mengganggu semangat dan mempengaruhi emosi saya. Ada masanya saya dalam dilema apakah langkah diambil untuk menjalani rawatan kimoterapi betul atau tidak?
"Apakah selepas ini giliran saya pula tewas ketika menjalani kimoterapi? Jadi, kepada orang ramai, nasihat saya, jika ada orang sekeliling sedang sakit, janganlah bawa unsur negatif. Sebaliknya, pupuklah semangat mereka, bukan menjatuhkannya," kata penyanyi, Elyana, 34, yang kini sedang meneruskan sesi kedua rawatan kimoterapi di sebuah pusat perubatan.
Elyana meminta peminat agar tidak berkongsi kisah individu yang tewas akibat kanser di ruang komen pada akaun IG. Semuanya kerana Elyana sedang menjalani rawatan kimoterapi dan menanggung kesakitan daripada proses itu. Faham niat mereka berkongsi pengalaman ahli keluarga atau teman rapat yang menjadi korban penyakit itu, namun, Elyana, menganggap sekarang bukan masa yang sesuai.
Sementara itu, biarpun belum berjaya mengumpul RM50,000 bagi membeli ubat yang dikatakan berupaya menguatkan antibodi, ibu kepada dua cahaya mata, Cinta Sumayyah, 10, dan Cahaya Ramadhani yang berusia dua tahun ini meneruskan sesi kedua rawatan kimoterapi itu.
Klik untuk gambar besar
Elyana mengaku sejak berita dirinya buntu hendak membiayai kos rawatan kimoterapi yang mencecah RM250,000 tersebar, dia menerima banyak mesej langsung (DM) daripada pengikut Instagram (IG) yang mahu menghulurkan bantuan. Bagaimanapun, kata Elyana, setakat ini dia masih belum berkongsi nombor akaun bank kepada pengikut IG, namun, mengakui membaca setiap DM dilayangkan.
"Saya tidak tahu bagaimana hendak membalas kebaikan pengikut. Kebanyakan daripada mereka yang melayangkan DM sama ada ingin menghulurkan sumbangan atau mahu mengambil inisiatif mewujudkan tabung bantuan, tidak dikenali. Saya sangat terharu melihat sambutan rakyat Malaysia yang sangat baik. Saya tidak meminta sumbangan daripada mereka, tetapi peminat yang ikhlas hati menawarkan diri membantu.
"Saya tidak mahu menyusahkan orang lain. Sejujurnya, saya malu untuk meminta-minta. Bagi saya, ini adalah ujian hidup saya, jadi biarlah saya hadapi sendirian. Namun, saya amat berbesar hati dan bertuah dikelilingi orang yang baik-baik," ujar penyanyi lagu 'Tak Tercapai Akalmu'.
Disahkan menghidap penyakit kanser limfoma tahap empat kira-kira 10 tahun lalu, Elyana atau nama sebenar, Erneelya Elyana Emrizal, berkata dia hanya berkongsi nombor akaun bank kepada bekas pengurus syarikat rakaman, Sam Samin.
"Sam menghantar pesanan meminta nombor akaun bank daripada saya untuk dikongsi kepada kenalan. Sam kata mana tahu dalam kalangan teman atau orang terdekat, mungkin ada yang ingin menghulurkan sumbangan. Namun, setakat ini, saya masih belum memeriksa baki akaun bank terbabit. Kebetulan, saya terlupa kata laluan untuk akaun berkenaan. Saya masih belum sempat pergi ke bank menguruskan perkara itu.
"Berapa banyak sumbangan diberi, secara jujur, saya tidak tahu. Namun, saya teruskan rawatan kimoterapi tanpa ubat itu. Jika kos mencukupi, saya akan gunakan untuk sesi rawatan akan datang. Besar atau kecil sumbangan yang diberi, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang atas niat baik mereka," katanya.
________________________
No comments:
Post a Comment