Malang tak berbau... demikian halnya yang terjadi dengan pelakon Haneesya Hanee, 21, apabila kereta jenis Myvi dinaikinya dirempuh sebuah lori seberat tiga tan ketika dalam perjalanan ke set penggambaran semalam.
Haneesya atau nama sebenarnya, Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahalan, difahamkan terbabit dalam nahas itu ketika melalui kawasan selekoh tajam menuju ke Bukit Fraser, Pahang.
"Saya menganggap ini sebagai salah satu ujian ketika hendak ke set penggambaran. Kejadian berlaku ketika melalui selekoh yang tajam dan tidak dapat melihat jalan depan.
"Siapa yang pernah ke Bukit Fraser pasti mengetahui keadaan jalan hendak ke sana. Sudahlah tidak dapat melihat kereta yang datang dari depan, lori itu sedang laju dan 'makan' jalan kami.
Klik untuk gambar besar
"Jalannya juga sempit, apabila lori berkenaan laju dan 'makan' jalan kami serta merempuh bahagian kereta. Mujur, kami yang berada dalam kereta tidak mengalami kecederaan.
"Lebih malang lagi, kenderaan yang dipandu itu dipinjam daripada sepupu kami. Apa pun, ibu saya sudah selesai membuat laporan di balai polis dan menyerahkan kepada pihak insurans berhubung perkara itu," katanya.
Haneesya turut berkongsi foto keadaan kenderaan yang remuk di bahagian sisi kanan hadapan menerusi laman Instagram miliknya. Bercerita lanjut tentang insiden berkenaan, Haneesya mendakwa lori terbabit dipandu dalam keadaan laju dan merbahaya.
Bagaimanapun Haneesya bersyukur kerana mereka yang turut sama berada di dalam kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. Dalam pada itu dia turut menasihatkan orang ramai yang mahu melalui lokasi sama agar berhati-hati.
"Lori tu laju, jadi makan jalan ke laluan kami. Bukan sikit-sikit dia makan jalan. Sekarang kami sewa kereta satu lagi sebab barang banyak nak bawa.
"Tak ada kecederaan teruk yang berlaku hanya sakit kaki sikit je tapi dah okay. Kepada anda semua hati-hati kalau lalu kawasan ini sebab keadaan jalan yang tak berapa selamat. Terima kasih kepada yang ambil berat," ujarnya.
________________________
No comments:
Post a Comment