Sebelum ini timbul desas-desus pelakon popular era 1990-an, Mas Anizan, 48, sudah bercerai. Namun terkini, persoalan mengenai rumah tangga pelakon itu akhirnya terjawab apabila Mas mengesahkan dakwaan tersebut.
Mas ketika dihubungi berkata, dia membuat pengakuan itu bagi mengelakkan fitnah dan salah faham masyarakat kerana dia kini kembali aktif bekerja. Bagaimanapun, Mas memilih untuk tidak berkongsi identiti bekas suaminya dan tarikh perceraian mereka.
"Pada mulanya saya belum bersedia untuk berkongsi. Namun, kerana saya hendak mula berlakon, jadi lebih baik saya berterus terang. Saya tidak mahu timbul salah faham dan fitnah pula nanti di lokasi penggambaran.
"Jadi, lebih baik saya membuka mulut, cuma saya memilih untuk tidak berkongsi butir lanjut kerana tidak mahu mengguris hati mana-mana pihak. Apa yang terjadi adalah suratan takdir. Allah yang menentukan segalanya," jelasnya.
Kisah perceraian wanita kelahiran Teluk Intan, Perak itu mula diperkatakan apabila bekas suaminya tidak kelihatan pada majlis pernikahan anak sulungnya, Mas Aliza, baru-baru ini. Mas berkahwin dengan ahli perniagaan dari Kuala Lumpur itu pada 2012.
Klik untuk gambar besar
Perkahwinan pertamanya dengan ahli perniagaan Allahyarham Datuk Ali Bapoo pada 1993 dikurniakan dua anak iaitu Mas Aliza dan Muhamad Masli Daniel.
Ali meninggal dunia pada 2008 dan menerusi perkahwinan kedua, Mas dikurniakan seorang anak perempuan, Ariana Marissan yang kini berusia tujuh tahun.
"Ajal maut semuanya ketentuan Allah, jadi saya sendiri tidak berani mengulas lanjut mengenai hati tertutup dan sebagainya. Semestinya jika berkahwin kita berharap bahtera yang dibina berkekalan hingga akhir hayat.
"Tiada apa lagi sebenarnya yang ingin dipanjangkan kerana kisah perceraian ini sudah lama selesai. Saya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan kerana itu saya memilih mendiamkan diri selama ini," katanya.
Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Mas Anizan kini menghabiskan penggambaran drama 'Hati Yang Dikhianati' terbitan Global Station yang tertunda disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
________________________
No comments:
Post a Comment