04 October 2021

MASIH JANGGAL - BAD TERUJA ANAK KETIGA ARWAH ISTERI AKAN BELAJAR TAHFIZ



Semua sedia maklum pelakon filem 'Busut Bonang', Badrol Shah atau Bad, 39, telah kehilangan isterinya, Farah Shila Mazlan yang meninggal dunia pada 26 Ogos lalu akibat Covid-19 selepas 45 hari dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Bad ketika dihubungi berkata, dia teruja apabila anak ketiga isterinya, Allahyarham Farah Shila Mazlan iaitu Putri Farah Norhaziqah, 7, akan dimasukkan ke sebuah sekolah tahfiz di Masjid Tanah, Melaka seiring dengan minat kanak-kanak itu yang diwarisi daripada Allahyarham ibunya.

"Alhamdulillah, ikut jejak langkah ummi dia. Memang dia minat pun dan sebelum ini, saya bersama arwah pernah menghantar Putri Farah ke sekolah tahfiz swasta ketika dia berusia enam tahun. Bagaimanapun disebabkan kami tidak berkemampuan, jadi pada awal tahun ini dia dimasukkan ke sekolah kebangsaan bersama dengan dua kakaknya, Putri Farah Nordina Dania, 12, dan Putri Farah Nordina Zawana, 11," kata Bad.

Ditanya mengenai dirinya yang kini bapa tunggal dan perlu menguruskan empat anak termasuk tiga anak tiri, Bad berkata, dia masih janggal dan perlu membiasakan diri demi meneruskan hidup bersama anak-anak.

Klik untuk gambar besar



"Situasi saya agak janggal, namun cuba membiasakan diri menguruskan keluarga sepenuhnya sendiri. Alhamdulillah, saya yakin boleh melakukannya demi anak-anak yang menjadi peniup semangat buat saya.

"Malah, setiap hari saya akan bawa ziarah ke kubur ummi mereka selain menatap foto arwah untuk melepas rindu. Saya reda kerana nak fikir ujian, memang sentiasa ada. Kini, yang pasti saya kena teruskan kehidupan lebih baik untuk anak-anak," tuturnya.

Mengulas kerjaya seninya, Bad berkata, setakat ini dia belum menerima tawaran berlakon lagi dan pendapatan untuk menyara keluarga masih bergantung sebagai penghantar makanan.


"Alhamdulillah, rezeki untuk anak-anak masih ada. Malah, sama ada ia cukup atau tidak, saya akan terus berusaha mencarinya kerana rezeki milik Allah. Selain itu, saya dan keluarga juga ada mendapat bantuan Baitulmal sebanyak RM400 sebulan.

"Setakat ini, saya bersyukur saja dengan segala rezeki yang diperoleh. Seandainya, ada tawaran berlakon nanti, Insya-Alah saya terima kerana anak yang sulung pun dah tahu menguruskan adik-adik," jelasnya.

Untuk makluman, Bad dan Farah Shila yang guru agama di Sekolah Rendah Agama Lembah Keramat bernikah pada 2018. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Da'aiyatul Insyirah, kini berusia dua tahun. Allahyarham juga dikurniakan tiga anak hasil perkahwinan pertamanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: