04 October 2021

REZA HASBI BERSYUKUR ISTERI BEBAS WABAK, BAYI DALAM KANDUNGAN SIHAT



"Alhamdulillah isteri dah boleh keluar pada Ahad, syukur semua selamat cuma simptom hilang deria rasa tu ada lagi selain dia mengadu cepat rasa penat. Buat masa ni dia tinggal di hotel dulu sebab ahli keluarga yang lain masih lagi kuarantin.

"Rabu ini baru mereka potong gelang," jelas pelakon Reza Hasbi yang meluahkan rasa syukur apabila isterinya, Rose Darlila Roseli disahkan bebas Covid-19.

Lebih melegakan Reza apabila mengetahui keadaan kandungan isterinya yang sedang hamil tiga bulan juga dalam keadaan baik dan sihat.

Terdahulu Reza memberitahu isterinya menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Sedang sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buluh disebabkan mengalami simptom sesak nafas.

Reza atau nama sebenarnya Muhamad Ridzuan Hasbullah yang kini berada di Kuala Kangsar, Perak berkata dia sudah tidak sabar untuk menemui isterinya itu.

Klik untuk gambar besar



"Kami pasangan jarak jauh, isteri saya berada di Subang dengan keluarga dia dan anak pertama kami sementara saya di Kuala Kangsar. Saya nak balik tapi ada saja halangan, dapat tawaran penggambaran pula. InsyaAllah saya akan ke KL nanti untuk bawa isteri balik berehat di kampung," ujarnya.

Dalam pada itu bercerita tentang kerjaya seni, Reza bersyukur apabila dia mula menerima banyak peluang berlakon: "Alhamdulillah apabila produksi dah mulakan dibenarkan beroperasi saya ada terima tawaran berlakon.

"Saya banyak dapat job penggambaran di Gopeng, Perak... setakat ini ada tiga telemovie. Saving pun okay masih dapat menampung kehidupan kami sekeluarga," katanya.

Untuk makluman, Reza berkahwin dengan Rose Darlila pada 2015 dan hingga kini mereka dikurniakan dua anak lelaki, Muhammad Rifqi Danial, 5, dan Muhammad Rafie Daiyan dua tahun tujuh bulan.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: