13 October 2021

MASIH PERLU DIPAPAH - EMMA AKMA LEGA KEADAAN KESIHATAN SEMAKIN BAIK



"Cuma saya masih lagi tak boleh berjalan dengan normal sendirian. Saya masih lagi perlukan pertolongan daripada suami. Maksudnya nak bangun dari katil dia kena papah saya. Begitu juga nak ke dapur, dia kena papah dan pimpin saya. Kalau nak berjalan saya kena pegang dinding. Namun, dari segi percakapan alhamdulillah dah okay sikit. Saya sekarang tidaklah letih atau lemah sangat berbanding sebelum ini.

"Apapun saya masih sakit di bahagian perut. Maklumlah saya bedah bahagian perut. Segala otot perut kita perlukan untuk bergerak. Sekarang baru sebulan setengah dan ada lagi sebulan setengah. Harap Disember nanti saya dapat berjalan seperti biasa," jelas pelakon Emma Akma yang berkongsi berkongsi perkembangan terkininya selepas enam minggu menjalani pembedahan.

Emma berkata, keadaan kesihatannya semakin baik. Dengan perubahan ini, Emma optimis dapat berjalan secara normal dalam tempoh tiga bulan. Dalam masa sama, pelakon berusia 52 tahun itu turut memberitahu mengenai keputusan pembedahan membuang ketumbuhan bersaiz sebiji bola sepak dalam perutnya pada 12 Ogos lalu. Emma atau nama sebenarnya Noorakma Yunus berkata, dia cuma lega apabila doktor menjelaskan keputusannya adalah 6/10.

Klik untuk gambar besar



"Nak kata saya tiada kanser tak boleh. Nak kata saya ada kanser pun tak boleh. Itu yang doktor maklumkan kepada saya. Alhamdulillah, ketika pembedahan ketumbuhan saya seketul yang 'solid', sel kanser di dalamnya tak pecah dan tak merebak ke mana-mana. Jadi, dia dekat situ saja. Kemudian doktor periksa bahagian usus, bahagian rahim, ovari dan tiga ketul kelenjar yang dikeluarkan pun tiada sel kanser," katanya menerusi video yang dimuat naik di media sosial.

Pelakon drama 'Gerak Khas: The Finale' ini berkata, dia amat bersyukur dengan penjelasan doktor itu kerana tidak perlu menjalani kimoterapi: "Sebenarnya itu yang saya nak dengar kerana saya takut dan risau. Sesiapa pun risau dengar macam itu. Doktor kata sepanjang dua tahun saya kena datang ke klinik tiga bulan sekali untuk pemeriksaan. Selepas dua tahun, enam bulan sekali dan selepas lagi dua tahun, seumur hidup kena datang hospital untuk pemeriksaan perubatan setahun sekali," tambahnya.

Terdahulu, Emma menjalani pembedahan dengan kos RM20,000 menerusi sumbangan netizen dan rakan-rakan artis. Dia sebelumnya tampil merayu bantuan orang ramai selepas disahkan menghidap kanser perut dan ketumbuhan sebesar saiz sebiji bola sepak. Dia mengakui buntu kerana pembedahan segera ketumbuhan itu memerlukan kos sebanyak RM50,000.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: